Berita

Undilah DAP demi masa depan anak cucu kita, kata Sasterawan Negara Samad Said

BINTULU, 5 MEI: Pada usia 84 tahun, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, tetap gigih berjuang bersama DAP yang diyakininya sebagai wadah alternatif terbaik untuk Malaysia.

Malah, beliau menegaskan DAP adalah parti untuk semua kaum dan bukan mewakili sesebuah kaum sahaja.

“Mengapa orang Melayu harus masuk DAP yang dikatakan ‘parti Cina’? Saya jelaskan kepada mereka, DAP bukan parti Cina, DAP parti insan. Kita semua insan!” katanya dalam jelajah kempen DAP di sini malam tadi disambut tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Pak Samad, rakyat Sarawak perlu melakukan perubahan dalam pilihanraya kali ini demi memastikan masa depan negeri dan negara yang lebih baik dan terjamin memandangkan hutang negara akibat 1MDB yang mampu memudaratkan rakyat dan negara.

“Saya sepatutnya duduk rumah tidur saja. Sebab saya sudah 84 tahun, buat apa pergi sana sini. Tetapi saya rasa bersalah kalau saya tidak buat apa-apa.

“Sebab saya sempat melihat negara ini dijajah. Sempat lihat negara ini merdeka, berkembang dan sempurna malah sempat melihat negara ini terhutang melalui 1MDB.

“Ini sesuatu yang tidak bagus. Saya fikir sepatutnya kita memberi kebahagiaan kepada semua orang. Tetapi apa yang kita tinggalkan melalui 1MDB adalah hutang supaya dibayar anak cucu kita. Dan ini tidak mengurangkan seorang tua berusia 84 tahun, berada di sini,” ujar beliau.

Sasterawan Negara itu turut memandang sinis kenyataan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini yang meminta supaya rakyat Sarawak tidak menjual hak mereka.

“Baru-baru ini di Simanggang, Najib menyatakan kepada orang ramai, rakyat, supaya jaga hak. Jangan jual hak anda. Sebab itu adalah sesuatu yang penting. Dia  (Najib) kata kita harus bersih. Tetapi apa yang dilakukan. Dia kata dia bersih, tapi dia tidak bersih!

“Orang yang bersih adalah seperti Kit Siang. Mungkin dia tidak kenal saya selama saya kenal dia. Tetapi saya apa yang dilakukan untuk kebaikan anak cucu kita,” katanya.

Ujar Pak Samad, Lim Kit Siang yang merupakan Ketua Parlimen DAP memiliki cita-cita murni demi Malaysia dan rakyat yang baik.

“Tapi dia (Lim Kit Siang) mempunyai idaman-idaman yang tersentuh (baik), idaman untuk Sarawak, idaman untuk Kelantan, malah idaman untuk Malaysia, maka itulah saya berada di sini dan saya harap semua rakyat yang ada, insan, tidak kira Melayu, Cina, Dayak dan India, dia adalah insan.

“Saya harap inilah waktunya (untuk berubah) kerana Sarawak akan menentukan di pusat nanti,” ujar Sasterawan Negara itu. – Roketkini.com