Rencana

Isham Rais: Sang Penghasut

Aku jumpa Hishamuddin Rais buat kali pertama di sebuah ‘kafe’ bersebelahan ruang upacara pengebumian di jirat Bukit Petaling. Sambil bersembang dan minum air 100 Plus, Isham kelihatan mengunyah kulit kacang. Separuh sisa kulit kacang yang kami jamah bersama, habis dimakannya. Bantu penghadaman kata dia.

Semudah itu aku pun percaya. Isham Rais berjaya menghasut aku untuk percaya bahawa kita patut makan kulit kacang untuk membantu penghadaman. Entah betul entah tidak. Padan lah ramai betul yang takut dengan kemahiran menghasut yang dimiliki Isham Rais.

Aku pun dengan bodohnya pergi kunyah kulit kacang, sekadar berasakan keyakinan yang terbina daripada hasutan Isham. Demikian cerita betapa hebatnya si penghasut tegar, Isham Rais.

Mungkin saja aku ni bangang, semudah itu percaya dengan hasutan Isham Rais supaya kunyah kulit kacang. Namun kau harus beri pengiktirafan, hasutan dia memang berkesan.

Kalau Isham Rais boleh hasut aku untuk buat sesuatu sebodoh makan kulit kacang tanah yang buat aku terbatuk-batuk dan hampir tercekik, kita tidak hairan kalau ramai pihak bimbang sekiranya dia berjaya menghasut orang lain supaya buat benda cerdik.

Selain kunyah kulit kacang, Isham Rais juga telah menghasut aku untuk makan petai jeruk. Ke mana sahaja dia pergi makan, akan ada lah sebotol petai dalam beg. Aku boleh bayang Isham bising dalam penjara nanti ‘Oi.. petai jeruk takde? Aku nak petai!’

Menurutnya, “I’m a 17-year-old boy, trapped in the body of a 60-year-old gentleman, but still looking 25; all thanks to my Petai.” Isham Rais, budak muda remaja 17 tahun usia, terperangkap dalam tubuh lelaki berumur 60 tahun, namun kekal kelihatan 25, hasil mengamalkan makan berulam petai. Majalah Siasah keluaran Julai 2003, Isham Rais lah yang menjadi penghias muka depannya, dengan wajah awet muda hasil makan petai.

Antara kejayaan menghasut Isham Rais yang lain ialah memaksa restoran Old Town Kopitiam di Brickfields supaya menjalankan operasi selama 24 jam. Bukan sahaja itu, dia juga berjaya mendapatkan sebuah meja khas di luar, untuk dia duduk dan memesan makanan dari kedai mamak di sebelah.

Sebut tentang makan, benda paling aku menyampah tentang Isham Rais ialah bila dia buka gigi palsunya sebelum makan. Potong selera betul, meski Isham sentiasa sahaja berselera. Isham memang suka makan, malah ada sebuah buku tentang jelajah seleranya. Dan dia tidak membazir, kalau ada makanan lebih, dia akan bungkus untuk ‘anak-anak’ di rumah. Beberapa ekor kucing dan haiwan lain termasuk seekor kura-kura.

Aku hanya pernah menjadi ‘driver’ Isham Rais sekali saja. Jemput di rumahnya di belakang Istana Negara sana, bawa ke restoran makanan laut jauh di Kayu Ara. Waktu itu musim jerebu. Dia murung betul melihat jerebu. Isham memang orang yang sentiasa menjaga kesihatan, jadi sebarang ancaman terhadap kesihatannya memang buat dia murung. Dalam penjara barangkali dia tak murung kerana ada khidmat kesihatan percuma.

Jadi ceritanya begini; Isham Rais akan disumbat ke penjara atas kesalahan menghasut dan seminggu ini ramai orang menyatakan setiakawan dengan nasib malangnya itu. Tempoh hari sewaktu Malam Baca Puisi Madrasah Seni aku sudah nyatakan solidariti dengan tulis puisi segera, kemudian dibaca si Young Syefura. Isham kongsi puisi itu di blog Tukar Tiub sehari kemudian. Terharu juga aku.

Blog Tukar Tiub itulah sumber hasutan sepanjang zaman, selain sumber pecah berita ‘terNOW’ senarai gagalis tahunannya sempena hari kekasih. Aku hanya pernah masuk senarai gagalis itu sekali sahaja. Isham jauh lebih gagal. Meski sekampung dan satu sekolah dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Isham tidak berjaya menawan hati Rosmah.

Tulisan Isham di blog itu barangkali telah berjaya melahirkan lebih ramai penghasut. Kalau kau kira bilangan aktivis yang dilatih Isham Rais, kau akan faham kenapa banyak pihak begitu bersungguh mahu mengurung Isham.

Isham Rais adalah induk dan simbol semangat melawan. Kita bercerita tentang Isham Rais supaya orang tidak lupa apa yang telah dia buat untuk negara, dan kenapa negara mahu kurung Isham. Kita bercerita tentang Isham Rais kerana dia, seperti kita, melawan kerana cinta dan kerana itu akan dikurung bukan kerana jahatnya, tapi kerana semangat melawannya.

Ditanya ‘kamu kerja apa’ oleh hakim dalam salah satu siri perbicaraannya, Isham menjawab “Saya ini pemikir”. Apabila hakim sedikit keliru, Isham menegaskan “I’m a thinker, Yang Arif.  I think everyday.”

Barangkali sudah tiba masa topeng muka Guy Fawkes itu kita tukar guna muka Isham Rais, si penghasut yang menurut Saudara Fathi Aris Omar, ‘wajar dipenjara’ supaya ‘anak muda tahu hidup itu bukan untuk selfie sewaktu demo sahaja!’

Jadi begitulah. Sudah cukup modal untuk kau Google siapa Isham Rais dan persoal kenapa dia akan dipenjara di bawah Akta Hasutan 1948 Isnin hadapan. – Roketkini.com

 

*Rencana ini telah disiarkan di Malaysiakini.com