Rencana

Analisis pilihanraya Sarawak: DUN Tasik Biru ujian sebenar kepada DAP

Lim Kit Siang hadir di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada hari penamaan calon pilihanraya Sarawak 25 April 2016 lalu. Kata beliau, pertempuran di antara Datuk Henry Jinep dari Barisan Nasional (BN) dan saya di DUN ini adalah ujian sebenar DAP bagi kerusi majoriti Dayak.

Tasik Biru memiliki 68 peratus pengundi berketurunan Dayak, 26 peratus kaum Cina dan 6 peratus kaum Melayu Melanau, dan BN telah menang di kerusi ini dengan memperoleh majoriti 1,288 undi apabila mendapat 6,922 undi (55 peratus) manakala DAP pula 5,634 undi (45 peratus).

Walaupun kami tewas, keputusan tersebut menyaksikan kemajuan mendadak bagi kerusi majoriti Dayak. Dalam pilihanraya umum ke-13, saya bertanding bagi kerusi Parlimen Mas Gading, ia merangkumi dua DUN, iaitu Tasik Biru dan Opar. Dalam pilihanraya itu, saya telah memperolehi 5,293 undi, sementara dalam pilihanraya negeri kali ini, kami berjaya mendapat lebih undi (5,634) hanya dalam satu DUN sahaja.

Di peringkat yang lebih mikro, DAP telah berjaya di empat dari 20 perkampungan Dayak yang mana di salah sebuah daripadanya, DAP mendapat undi lebih dari 70 peratus. Secara purata, kami telah berjaya mendapat 40 peratus di kawasan Dayak. Pencapaian dengan angka-angka memberangsangkan sebegini tidak dapat dibayangkan tiga tahun lalu.

Pilihanraya Sarawak kali ini telah membuktikan bahawa kami berjaya memperolehi sokongan rakyat di bumi Bidayuh walaupun BN secara sistematik menggunakan wang dan taktik menakut-nakutkan pengundi di saat akhir sebelum hari pengundian- penduduk kampung diberitahu bahawa kerajaan akan memotong bekalan air, elektrik dan memotong bantuan kebajikan jika BN kalah di kerusi ini!

Kami berjaya sampai ke tahap ini walaupun Tasik Biru dilawati Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sendiri, termasuk kunjungan menteri persekutuan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed malah telah dijenguk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di empat majlis berbeza dalam tempoh kempen sesingkat 12 hari. Pasukan kami terperanjat apabila Perdana Menteri berkunjung pada hari terakhir kempen! BERSIH yang menjadi pemerhati pilihanraya pula telah melaporkan wujud kesalahan serius dalam kempen BN, tetapi tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Adakah kami tewas di Tasik Biru akibat politik wang BN? Saya tidak pasti. Tetapi kami tewas kerana kami membuat keputusan untuk tidak membeli undi. Sejak permulaan kempen lagi, ramai yang mencadangkan sama ada secara tersirat atau tidak, supaya kami mengeluarkan ‘modal’ untuk menjamin kemenangan. Ya, kemenangan amat penting, dan anda juga tidak mampu mengelak daripada helah mereka.

Bila dicongak, jika kami membeli 1,000 undi dengan harga RM50 setiap satu, kami mungkin boleh menang di kerusi ini dengan nilai RM50,000. (Tapi kami tewas dengan 1,288 undi, di mana hanya 644 undi sahaja perlu dibeli dan menjadikannya seri!) Bagaimanapun, dengan risiko tewas, kami tetap teguh dengan prinsip dan menolak tawaran ejen yang menjadi pengantara untuk membayar wang kepada pengundi.

Kesudahannya, kami kalah. Apabila keputusan diumumkan di pusat pengundian, ramai di kalangan kami menitiskan air mata. Kami menangis dan berpelukan. Semua gerak kerja, jerih perih, pahit maung usaha kami selama lima tahun lalu, begitu juga dengan kerja keras pasukan kempen yang bertungkus-lumus membuat persediaan pilihanraya, tidak mampu untuk mengatasi politik wang, politik ugut dan segala macam timbunan janji.

Kemenangan yang tertangguh ini tidak akan menjadikan kami berputus asa di Tasik Biru untuk meluaskan lagi capaian perkhidmatan kami kepada kawasan-kawasan pedalaman.

mordiSaya masih ingat bagaimana seorang wanita yang mengendong anaknya dengan bangga memakai t-shirt UBAH dan berjalan dalam gelap menggunakan lampu suluh menuju tempat ceramah. Saya tahu, walaupun ramai penduduk kampung menghadapi kesulitan kewangan, mereka bersama kami, menolak mainan politik wang BN;

Saya masih ingat dalam satu sesi perbincangan, ibu-ibu tunggal meluahkan rasa khuatir terhadap peluang anak-anak mereka belajar dan mendapat biasiswa jika mereka terlibat dalam kempen kami. Saya masih ingat bagaimana seorang wanita dari kampung memberitahu saya dengan bersungguh-sungguh bahawa maruah dan undinya tidak boleh dibeli dengan wang;

Saya masih ingat wajah-wajah mereka yang penuh bangga ketika saya ucapkan “Kita telah berjuang dalam peperangan ini dengan penuh prinsip dan maruah!” dalam ucapan saya selepas keputusan diumumkan. Saya takkan lupa renungan mereka yang penuh harapan untuk berubah demi masa depan yang lebih baik.

Dengan situasi semasa yang berlaku, begitu juga dengan iktibar yang perlu diambil kira dari kekalahan kita di kawasan pedalaman, saya yakin pada suatu masa DAP akan memenangi kerusi Tasik Biru begitu juga dengan kerusi Parlimen Mas Gading. Dan kita akan memenanginya dengan gilang-gemilang mengatasi politik wang dan ketakutan.

Rakyat Malaysia perlu berjuang sehabis baik sehingga keadilan dan kebenaran melimpah seperti sungai yang tidak akan berhenti mengalir. Justeru, jangan sesekali kita berputus asa dan berputus harap. Perjuangan ini, akan kita diteruskan! – Roketkini.com

 

*Penulis adalah calon DAP bag kerusi DUN N2 Tasik Biru