Rencana

Gejala rasuah punca peningkatan masalah dadah di Malaysia

Dewan Rakyat membahaskan pindaan kepada Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004 pada hari ini. Saya mendapat peluang untuk mencelah perbahasan Yang Berhormat dari Bagan Serai. Saya bersetuju dengan ungkapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen berkenaan iaitu “Dadah adalah satu masalah serius dan kerajaan juga serius dalam usaha membenteras masalah itu”.

Mungkin kerajaan pada dasarnya serius dalam menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi, pada peringkat pelaksanaan terdapat banyak perkara yang boleh dipertikaikan. Adakah agensi-agensi kerajaan yang terlibat benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah ini?

Pada pandangan saya, agensi-agensi pelaksanaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbetulkan sebelum masalah ini boleh diatasi. Saya telah menghujahkan bahawa amalan rasuah yang berleluasa merupakan salah satu faktor penting yang menjadi punca kepada masalah dadah yang semakin meningkat di negara kita.

Kita tidak boleh menafikan bahawa adanya amalan rasuah yang berleluasa menyebabkan pengedaran dadah sukar dibenteras. Pihak yang terlibat dalam pembuatan dan pengedaran dadah tidak takut kepada undang-undang negara yang sedia ada.

Kita mempunyai undang-undang yang cukup keras bagi menghukum mereka yang terlibat dengan pengedaran dadah. Apa lagi undang-undang yang lebih berat daripada hukuman mati mandatori yang kita ada sekarang? Tetapi, setiap tahun jumlah kes dadah semakin meningkat.

Ini membuktikan bahawa hukuman mati tidak menakutkan mereka yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti dadah. Apakah yang memberi keberanian dan semangat kepada penjenayah-penjenayah ini untuk terus melakukan kesalahan tersebut?

Pada pandangan saya, gejala rasuah merupakan punca utama yang menjadi batu penghalang kepada pelaksanaan dasar kerajaan untuk membanteras dadah.

Selagi kita gagal mencari jalan untuk menghapuskan rasuah dikalangan pegawai-pegawai pelaksana, masalah dadah akan berterusan malah akan meningkat dari tahun ke tahun. Kementerian Dalam Negeri janganlah berdolak-dalik menafikan tentang amalan rasuah ini. Melarikan diri daripada realiti tidak menguntungkan sesiapa, malah amat merugikan negara bangsa.

Adalah baik sekiranya kita berani menerima hakikat dan mencari pedoman untuk menyelesaikan masalah ini. Masalahnya sekarang, Kementerian Dalam Negeri sentiasa menafikan bahawa wujudnya amalan rasuah yang berleluasa di agensi-agensi pelaksana yang ditanggungjawabkan untuk membanteras dadah.

Saya juga telah membangkitkan isu penglibatan pelajar-pelajar sekolah dalam aktiviti-aktiviti pengedaran dadah. Saya difahamkan pelajar-pelajar sekolah menengah terutamanya daripada Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 menjadi sasaran kumpulan-kumpulan tertentu di luar. Pelajar-pelajar ini direkrut sewaktu mereka masih dibangku sekolah.

Selepas anak-anak ini keluar dari sekolah, mereka diberi ganjaran-ganjaran tertentu seperti motosikal percuma dan sebagainya untuk memikat hati mereka. Kemudian mereka diberi bungkusan dadah untuk diedarkan kepada pelanggan-pelanggan mereka di tempat-tempat tertentu. Mereka juga diberi bayaran yang lumayan untuk kerja-kerja pengedaran yang mereka lakukan. Akhirnya, terlahirlah pengedar-pengedar dadah yang baru.

Bagaimanakah kerajaan membuktikan kesungguhan politiknya dalam menyelesaiakan masalah penglibatan pelajar-pelajar sekolah dalam aktiviti-aktiviti pengedaran dadah? Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk menjejak, mengenalpasti dan bertindak membendung masalah gegala dadah di kalangan pelajar-pelajar sekolah?

 

*Tulisan ini merupakan kenyataan media Ahli Parlimen Batu Gajah, V.Sivakumar pada 16 Mei 2016 di Dewan Rakyat