Berita

Sungai Pahang makin kering dan cetek, DAP gesa kerajaan tindak segera

MENTAKAB, 23 MEI: Sungai Pahang, sebuah sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia, kini mengalami ancaman kering dan cetek ekoran sikap rakus syarikat pembalak, ditambah pula dengan sikap sambil lewa kerajaan UMNO-Barisan Nasional Pahang terhadap isu tersebut.

Hasil daripada penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling, menurut laporan agensi berita nasional Bernama, salah sebuah anak sungai utama Sungai Pahang, iaitu Sungai Tembeling, hampir musnah, malah hampir kontang berikutan sikap tidak peduli kerajaan negeri terhadap khazanah negara berkenaan.

Malah, menurut Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Dr. Hasmadi Hassan yang dipetik Bernama berkata, aktiviti pembuangan sisa sampah ke sungai juga mengakibatkan sungai tercemar dan menjadi semakin cetek.

Membangkitkan kebimbangan terhadap isu yang menjadi nadi kehidupan penduduk di sini, Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata kerajaan negeri harus menjawab dan menyelesaikan isu terbabit dengan tuntas dan dengan perancangan yang komprehensif.

“Kerajaan negeri tidak boleh beri alasan bahawa kawasan hutan di negeri Pahang adalah besar, dan disebabkan itu, kerajaan negeri terlepas pandang. Ia sebuah alasan yang dangkal dan tidak bertanggungjawab

“Tak kan tidak cukup kakitangan untuk memantau?” katanya kepada Roketkini.com sambil menambah isu berkenaan tidak akan dapat diatasi dengan sempurna jika setiap pihak berkuasa yang bertanggungjawab tidak memainkan peranannya dengan baik.

Bagaimanapun, Tengku Zulpuri yang juga Adun Mentakab turut menegur sikap masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sungai dengan membuang sewenang-wenangnya sampah sarap ke sungai, sekaligus mengakibatkan sungai menjadi kotor dan cetek.

“Semuanya tidak harus diletakkan di bahu kerajaan negeri sahaja, sikap rakyat juga memainkan peranan yang penting jika kita ingin lihat masalah seumpama itu dapat diatasi dengan baik dan secara berterusan,” tambahnya.

Beliau turut mempersoalkan jika wujud ‘tangan-tangan ghaib’ yang ‘mengawal’ aktiviti pembalakan berkenaan sehingga kegiatan itu berterusan tanpa campur tangan dan tindakan oleh pihak berkuasa negeri.

“Adakah wujud ancaman dari pihak kongsi gelap dalam hal ini?” soalnya. – Roketkini.com