Berita

Tak perlu cukai konvensional terhadap perniagaan kecil ‘online’, kata Ahli Parlimen DAP

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, meminta kerajaan supaya tidak mengenakan cukai pendapatan secara konvensional terhadap perniagaan kecil atas talian (online).

Sehubungan itu, beliau yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata, mekanisme cukai pendapatan perniagaan konvensional yang dipilih Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mencukai peniaga atas talian perlu dikaji semula.

Menurutnya, sistem konvensional itu akan menyukarkan individu yang memilih perniagaan atas talian sebagai punca rezeki tambahan kerana mereka (peniaga dalam talian) terpaksa melakukan dokumentasi cukai seperti yang dilakukan syarikat-syarikat berdaftar.

“Ada kemungkinan tinggi mereka berniaga secara atas talian ini melakukannya sebagai ‘part time’ sahaja dan tidak ada kapasiti untuk mendaftarkan syarikat.

“Mereka juga mungkin tidak mampu untuk membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk perkhidmatan ‘company secretary’ untuk memfailkan dokumen-dokumen yang penting bukan sahaja kepada LHDN tetapi ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga,” katanya kepada Roketkini.

Sehubungan itu, Kian Ming mencadangkan supaya LHDN bersama-sama institusi kerajaan yang berkaitan mengambil langkah mengenal pasti jumlah peratusan peniaga atas talian yang telah berdaftar dengan SSM.

Jika didapati terdapat ramai peniaga online yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak SSM, katanya, kerajaan harus mengkaji secara terperinci punca timbulnya masalah terbabit supaya ia dapat diatasi dengan berkesan.

“Isu sekarang ialah sama ada peniaga ‘online’ mempunyai syarikat berdaftar atau tidak.

“Kementerian yang berkenaan sepatutnya mengenalpasti peratusan peniaga online yang tidak mempunyai syarikat berdaftar dan mengapa mereka tidak menjalankan perniagaan melalui syarikat berdaftar,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, LHDN menyatakan bahawa menurut Seksyen 4 Akta Cukai pendapatan 1967, pendapatan suatu perniagaan layak dikenakan cukai pendapatan setelah mengambil kira semua perbelanjaan yang layak dibenarkan dalam perniagaan dan pelepasan cukai yang layak dituntut oleh peniaga tersebut.

Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh individu, cukai pendapatan mereka akan mengikut kadar cukai pendapatan individu bermula dari kosong peratus sehingga 28 peratus (mulai Tahun Taksiran 2016).

Manakala bagi perniagaan dalam talian oleh syarikat, kadar cukai pendapatan yang akan dikenakan adalah antara 19 peratus dan 24 peratus. – Roketkini.com