Berita

DAP Sabah sokong kerjasama Malaysia- Filipina banteras kegiatan pengganas

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Kerajaan Malaysia perlu menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Filipina untuk menyelesaikan masalah keselamatan khususnya di sempadan perairan kedua-dua negara.

Tanpa kerjasama kukuh, isu melibatkan keselamatan perairan negara akan terus timbul kerana kebanyakan kumpulan pengganas berpengkalan di Selatan Filipina dan bersebelahan dengan Timur Sabah.

Menurut Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, adalah penting bagi Malaysia untuk mendesak Filipina mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti puak pengganas di Selatan Filipina terutamanya Abu Sayyaf demi menjamin keamanan serantau.

“DAP Sabah menyambut baik kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan yang meminta Presiden baharu Filipina Rodrigo Duterte supaya tuntutan ke atas Sabah digugurkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Sandakan itu menggesa Pairin dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden baharu Filipina tersebut untuk menyelesaikan masalah keselamatan di Selatan Filipina dan Timur Sabah.

Selain isu keselamatan, kata Stephen, kedua-dua pihak juga perlu mencari penyelesaian jangka panjang melibatkan pendatang asing tanpa izin.

“Tetapi kita lihat mengapa Pairin yang merupakan pengerusi jawatankuasa RCI Pendatang Asing Tanpa Izin masih tidak mengeluarkan laporannya?

“Beliau telah berjanji sebelum ini untuk mendedahkan laporan itu pada hujung 2015 tetapi kini sudah separuh tahun berlalu. Saya ingin bertanya bila laporan itu akan dikeluarkan dan bila pihak kerajaan akan bertindak untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa izin ini di Sabah?” soal Stephen.

Merespon kepada kumpulan NGO yang ingin mengadakan protes membantah penarikan semula kad pengenalan Malaysia pada hujung bulan ini, Stephen berkata, bantahan kumpulan itu tidak selaras dengan aspirasi dan kepentingan Sabahan.

“Saya menyokong cadangan untuk menarik balik semua kad pengenalan di Sabah dan mengeluarkan semula kepada rakyat Sabah yang sebenar untuk memastikan tidak wujud pertindihan kerakyatan supaya dapat menyaring pemilik IC palsu,” kata beliau. – Roketkini.com