Berita

Royalti minyak 20% mampu tampung kos bina jalanraya 4,000km di Sarawak, tak perlu GST

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Dakwaan Barisan Nasional bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperlukan untuk menampung kos pembinaan 4,402 km jalan raya di Sarawak hanyalah taktik mengaburi mata rakyat Bumi Kenyalang untuk menerima cukai regresif tersebut.

Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, berkata kos sebanyak RM24.8 bilion bagi menyiapkan jalan raya yang menghubungkan di antara kawasan bandar dan luar bandar itu boleh diselesaikan jika 20 peratus kenaikan royalti minyak yang telah diluluskan DUN negeri pada dua tahun yang lalu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya setiap tahun royalti minyak dan gas yang diperoleh sebanyak lima peratus boleh membawa RM2 bilion kepada kerajaan Sarawak.

“Kalau royalti ini dinaikkan seperti yang diluluskan dalam DUN Sarawak, maka kerajaan Sarawak boleh mendapat sekurang-kurangnya sebanyak RM8 bilion,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang dipetik sebagai berkata, berdasarkan cadangan bahawa keseluruhan jalan raya itu akan dibina dalam masa 14 tahun, maka Sarawak memerlukan RM1.9 bilion setahun untuk membina 338 km jalan raya.

Justeru, Masing membayangkan kutipan RM2 bilion GST daripada rakyat Sarawak boleh menampung kos pembinaan RM1.9 bilion setahun berkenaan, sekaligus membayangkan bahawa GST itu perlu demi pembangunan infrastruktur negeri.

Bagaimanapun, Oscar yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sarawak berkata, adalah tidak adil bagi rakyat Sarawak untuk membayar GST semata-mata untuk mendapatkan infrastruktur yang lebih sempurna.

Sedangkan, rakyat negeri berkenaan telah pun dikenakan cukai sedia ada seperti cukai peribadi dan cukai syarikat oleh kerajaan Persekutuan, tambahnya.

“Ini hanya taktik, mengikut jawapan daripada Parlimen, GST yang dikutip di Sarawak ialah lebih kurang RM1 bilion setahun. Saya tidak tahu mahu dari mana Masing mendapatkan jumlah RM2 bilion itu.

“Mungkin kerajaan berhasrat untuk menaikkan kadar GST dari 6 peratus kepada 10 peratus?” katanya.

Pada Mei lalu, sebelum tiga hari pilihanraya negeri Sarawak ke-11 berlangsung, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan bahawa tuntutan kenaikan royalti minyak oleh kerajaan Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan ketika ini ekoran kononnya kejatuhan harga minyak global. – Roketkini.com