Berita

DAP gesa kerajaan naikkan gaji anggota bomba

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Pasukan bomba memainkan peranan amat penting dalam menjaga keselamatan rakyat, justeru kedudukan mereka harus diangkat sama tinggi dengan pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, berkata syarat-syarat kelayakan bagi jawatan bomba dan polis adalah hampir sama, justeru adalah tidak wajar jika gaji permulaan dan kenaikan gaji untuk setahun bagi pegawai bomba lebih rendah dari polis.

“Semakan dengan laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mendapati bahawa gaji permulaan bagi konstabel polis gred YA1 ialah RM1,014 dengan kadar kenaikan gaji RM100 setahun.

“Manakala, gaji permulaan bagi pegawai bomba gred KB17 ialah RM936 dengan kadar kenaikan gaji RM95 setahun.

“Gaji permulaan pegawai bomba ini amat rendah, malah kurang daripada paras gaji minima kebangsaan yang bakal berkuatkuasa pada 1 Julai tahun ini, iaitu RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, beliau telah mencadangkan penyelarasan skala gaji pegawai bomba dengan polis pada sidang Parlimen yang lalu, namun ia tidak dipersetujui oleh kerajaan.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, menyatakan bahawa kerajaan telah memutuskan bahawa gaji pegawai dalam perkhidmatan polis dan tentera hendaklah lebih tinggi dari pegawai perkhidmatan awam am.

Malah, beliau menjelaskan, menteri tersebut mengatakan bahawa disebabkan prinsip-prinsip yang berkuatkuasa serta skop fungsi tugas berbeza, skala gaji pegawai bomba tidak boleh diselaraskan dengan gaji pegawai polis.

“Bagi saya, penyelarasan itu perlu memandangkan pegawai bomba berdepan dengan pelbagai risiko dan ancaman ketika menjalankan tugas, sama seperti pasukan keselamatan lain,” jelasnya.

Tugas pasukan bomba, kata Zairil, tidak hanya terhad kepada kerja-kerja memadam kebakaran yang sememangnya berisiko tinggi, tetapi juga terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (search and rescue) serta banyak membantu rakyat semasa negara dilanda bencana alam.

“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana kita akan mampu berdepan dengan bencana seperti tanah runtuh, kebakaran hutan dan banjir besar yang melanda setiap tahun jika tidak ada pasukan bomba,” ujar beliau.

Menurutnya, anggota bomba juga sentiasa dikerah dalam apa juga keadaan, termasuk menebang pokok tumbang, menangkap ular sehinggalah kepada menyiram air ke atas kanak-kanak sebelum berkhatan.

Katanya, ia menunjukkan bahawa mereka mempunyai peranan besar dan erat dalam masyarakat serta melangkau isu-isu kecemasan atau bencana.

“Oleh itu, saya percaya kedudukan pegawai bomba hendaklah diangkat sama tinggi dengan polis dan tentera,” ujarnya. – Roketkini.com