Berita

Usul ‘hudud’ bakal jadi bahan kempen burukkan Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Walaupun PAS boleh menafikan apa yang diusulkan presidennya di Parlimen semalam adalah ‘hudud’, ia dijangka menjadi bahan kempen kepada parti Islamis itu untuk memburukkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Ariff Sabri Aziz, berkata dalam kedua-dua PRK itu, kempennya akan berkisar tentang PAS sebagai pejuang hudud manakala pula DAP pula digambarkan sebagai penentang hudud.

Sehubungan itu, jelasnya, mana-mana calon Pakatan Harapan yang bersahabat dengan DAP akan dituduh sebagai penentang hudud.

“Itu saja pemimpin mereka nak kata dan sudah tentu dilihat cuba menjejaskan calon Pakatan Harapan, khususnya jika Parti Amanah Negara yang bertanding,” katanya kepada Roketkini.

Malah, Ariff yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pahang berkata, usul ‘hudud’ itu yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga bertentangan dengan kerjasama PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang menyatakan hudud tidak sesuai lagi dilaksanakan di Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dan kaum.

“Saya hairan bagaimana Hadi boleh buat perkara ini, sedangkan sebelum ini dia bermuafakat dengan Ikatan, dan masa itu beri komitmen tidak akan usulkan ‘hudud’. Macam mana kita boleh percaya sikap yang macam ini? Mula-mula cakap lain, lepas itu cakap lain.

“Jadi kita nak tengok apa kata Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Sebelum ini Naib Presiden Ikatan, Datuk Tony Looi, pernah kata dia akan keluar dari parti jika PAS bentangkan usul hudud. Bagaimana dengan Kadir?” soal beliau.

Selain bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, tindakan Hadi membawa usul rang undang-undang persendirian berkaitan Mahkamah Syariah itu – walaupun umum melihatnya sebagai ‘hudud’ – lebih bermotifkan politik.

Ariff berpendapat tindakan itu juga merupakan ujikaji PAS terhadap penerimaan Ahli-Ahli Parlimen lain, sama ada pembangkang atau Barisan Nasional, kepada usul parti tersebut berhubung undang-undang jenayah Islam.

Malaysiakini telah melaporkan bahawa Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, menyatakan, PAS akan membawa isu ‘hudud’ itu sebagai bahan kempen dalam dua pilihanraya kecil tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Parlimen semalam: “Kita akan bawa benda ini (isu rang undang-undang persendirian) dalam pilihanraya kecil nanti.”

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari, pula mempersoalkan niat Hadi yang enggan membahaskan usul yang dibawanya sendiri, sebaliknya menangguhkannya hingga Oktober depan, sedangkan selama ini PAS bersungguh-sungguh membawakan usul tersebut.

Semalam juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan DAP tidak akan bersetuju dengan apa juga pindaan yang menjejaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial, termasuk usul PAS yang melibatkan RUU persendirian berkaitan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata keputusan itu diambil bukan kerana sentimen agama tetapi demi menjaga hak setiap rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tegaskan ini bukan suatu tentangan terhadap agama Islam atau Mahkamah Syariah tetapi untuk menegakkan kedudukan Perlembagaan sebagai perundangan tertinggi negara,” katanya – Roketkini.com