Rencana

Pulang sambut Gawai walau terpaksa duduk atas bumbung bot

Meriah! Begitulah suasana yang dapat dilihat setiap kali menjelang sambutan Pesta Gawai di Sarawak dan Pesta Ka’amatan di Sabah yang merupakan sambutan kesyukuran di atas hasil tuaian padi yang diusahakan.

Sambutan pesta menuai di kedua buah negeri ini juga merupakan identiti masyarakat tempatan khususnya bagi masyarakat Dayak di Sarawak, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan sebagainya di Sabah.

Bagi Sarawak, Pesta Gawai disambut pada setiap 1 dan 2 Jun manakala Pesta Ka’amatan pula disambut pada 30 dan 31 Mei di Sabah dan merupakan cuti umum bagi kedua-dua negeri.

Kemeriahan ini dapat dirasakan di mana-mana baik di bandar mahupun desa, hiasan Gawai-Kaamatan dipasang menghangatkan suasana.

Bagi mereka yang merantau mencari rezeki di bandar, kesempatan ini dimanfaatkan untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga dan sanak saudara, mengukuhkan talian persaudaraan.

Seperti biasa setiap kali menjelang perayaan utama, jalanraya mulai sesak, jualan tiket bas dan penerbangan meningkat, begitu juga dengan perkhidmatan jalan air.

Menurut cerita Paren Nyawi yang berasal dari Song, setiap kali Pesta Gawai, jeti yang menghubungkan Sibu, Song dan Kapit akan penuh sesak dengan mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Ramai anak jati Song atau Kapit yang menetap di luar terutamanya di bandar utama di Sarawak atau di Semenanjung akan kembali ke kampung semasa cuti Gawai,” kata bekas calon DAP Dewan Undangan Negeri Katibas itu kepada Roketkini.com.

Dek kerana tidak mempunyai jalanraya, satu-satunya pengangkutan utama yang digunakan ialah pengangkutan air; malah tidak aneh melihat sebahagian penumpang terpaksa duduk di atas bumbung bot kerana ketiadaan tempat duduk.

Kata Paren, ini berlaku kerana jumlah bot dan kekerapan perjalanan bot memang tidak dapat menampung jumlah penumpang yang tiba-tiba meningkat secara mendadak setiap kali musim Gawai. Bilangan bot yang terhad juga tidak membantu.

Bagi penduduk setempat, pengangkutan air sudah digunakan sejak zaman berzaman. Ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di sini. Bagi penduduk di Song pula, 75 peratus daripada pengangkutan harian menggunakan laluan air.

“Hanya Sungai Rajang sahaja satu-satunya jalan penghubung ke Pekan Song dan Pekan Kapit dari Bandar Sibu buat masa ni.

“Tambahan pula, jalan raya Sibu-Kapit belum siap lagi, jadi kita harus terima kenyataan menjelang waktu cuti memang keadaan sesak di jeti seumpana ini biasa berlaku,” ujar Paren.

Pengangkutan air adalah nadi masyarakat di Kapit. Hampir semua urusan khususnya dari rumah-rumah panjang ke bandar, ke sekolah dan sebagainya perlu menggunakan perahu atau sampan termasuklah jika berlaku kecemasan.

Walaupun sebahagian kita melihat penggunaan pengangkutan air mungkin melecehkan, bahaya atau lambat, inilah hakikat yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat di Kapit dan banyak lagi kawasan pedalaman di Bumi Kenyalang ini.

Dalam pilihanraya Sarawak yang lalu, kempen Paren selaku calon bagi DUN Katibas tidak mungkin dapat sampai ke rumah-rumah panjang tanpa penggunaan ‘pasukan kempen berperahu’.

Jalanraya yang dijanjikan kerajaan selama ini masih belum siap malah projek itu baru diumumkan Mac tahun ini sebelum pilihanraya Sarawak yang lalu dan kononnya dijangka siap pertengahan 2018 setelah lebih separuh abad Sarawak bersama membentuk Persekutuan Malaysia. – Roketkini.com