Berita

Usul hudud: Pecat Azalina dan Rosnah, bukan acah ugut letak jawatan

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Tindakan pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mengacah mahu meletakkan jawatan Kabinet ekoran pembentangan usul hudud oleh PAS tidak membawa sebarang makna.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sebaliknya menekankan supaya pemimpin MCA, Gerakan dan MIC untuk mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dipecat daripada Kabinet.

Kedua-dua anggota Kabinet tersebut telah bertindak sebagai pencadang dan penyokong usul rang undang-undang persendirian Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Hadi Awang pada sidang Parlimen Khamis minggu lalu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menggesa Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya bersemuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengetahui apa sebenarnya rang undang-undang yang dibentang Hadi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri cuba menenangkan parti-parti komponennya dengan menerangkan bahawa usul Hadi bukanlah hudud.

“Adakah Perdana Menteri betul apabila mendakwa rang undang-undang Hadi bukanlah hudud?

“Atau adakah menteri yang mengugut mahu letak jawatan telah membuat perakuan yang betul bahawa rang undang-undang Hadi akan disusuli pelaksanaan hudud?” soalnya dalam sebuah forum di Sekinchan malam tadi.

Bagi Kit Siang, tidak ada ertinya bagi menteri-menteri BN meletakkan jawatan sekiranya usul Hadi diluluskan menjelang akhir tahun ini.

“Memecat Azalina dan Rosnah daripada Kabinet akan memastikan kejadian Khamis lalu tidak berulang,” ujar beliau sambil menambah bahawa usul Hadi itu akan luput menjelang sidang Oktober kecuali wujud campurtangan menteri untuk memberi keutamaan kepada usul tersebut, mendahului urusan kerajaan.

Khamis lalu, selepas tiga kali mencuba, usul hudud yang dibawa Hadi telah dibenarkan untuk dibentang di Dewan Rakyat. Namun, beliau kemudiannya meminta usul tersebut ditangguhkan ke sidang mesyuarat akan datang. – Roketkini.com