Berita

Pesakit semakin ramai, Johor perlu dua lagi hospital awam

JOHOR BAHRU, 31 MEI: DAP Johor menyokong penuh usaha kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah tidak cukup hospital di negeri ini, termasuk menimbang permohonan dua hospital baru yang pernah dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin.

Menurut Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, permohonan untuk membina dua hospital kerajaan berkenaan di tanah milik Kementerian Kesihatan Malaysia di Tampoi dan Pasir Gudang dua tahun yang lalu bagaimanapun tidak disentuh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, dalam jawapan balasnya di Parlimen.

Sebaliknya, menurut Naib Pengerusi DAP Johor itu, menteri berkenaan hanya menjelaskan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan jutaan ringgit bagi menaiktaraf tiga hospital utama yang ada, iaitu Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSA), Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai.

Namun, jelas beliau, masalah yang dihadapi sekarang ialah terlalu ramai pesakit di Johor sedangkan tidak cukup hospital untuk menampung keperluan.

“Jadi, apa yang saya ingin tanyakan di sini, adakah cadangan (permohonan) kerajaan negeri Johor tersebut masih akan dilaksanakan oleh KKM?” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan turut menegaskan bahawa keperluan hospital baru berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Johor menikmati kemudahan kesihatan secara percuma, sekaligus mengurangkan beban yang ditanggung mereka akibat kos sara hidup yang tinggi.

“Pada ketika kini sudah terdapat banyak hospital swasta di dalam Wilayah Iskandar Malaysia, jadi sudah sampai masanya kerajaan pusat menambah dua lagi hospital kerajaan di sini untuk kegunaan dan kemudahan rakyat jelata,” tegasnya.

Pada 2014, Khaled seperti yang dilaporkan media berkata bahawa kerajaan negeri Johor telah pun memohon pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dua di atas tapak milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Tampoi dan Pasir Gudang di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi menampung keperluan penduduk yang semakin padat.

Namun, setelah dua tahun berlalu, hospital berkenaan belum didirikan. – Roketkini.com