Wawancara

Wawancara khas – Apa lagi Mahathir mahu?

Sekitar lima minit sebelum jam 9 pagi, saya melihat beliau tiba dengan iringan dua kereta polis. Sekonyong-konyong keluar dari kenderaan, beliau terlebih dahulu menghampiri seorang pegawai keselamatan yang memegang bekas makanan ikan. Diambilnya beberapa genggam dan dicampak ke kolam di perkarangan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan harinya di pejabat dengan memberi makan kepada ikan-ikan koi, mungkin satu ritual menenangkan diri, setelah 13 tahun melepaskan jawatan sebagai kepala negara paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia.

Pun begitu, setelah lama ‘bersara’ daripada jabatannya, Mahathir tidak lelah bermain politik. Sepelontar batu dari pejabatnya di Precinct 8 Putrajaya itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang cuba dijatuhkannya melalui usaha mengumpul tandatangan, selain bekerjasama dengan ramai musuh politik lama, termasuk pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang.

Kerjasama itu akhirnya membenih langkah meninggalkan parti yang diasaskannya, United Malays National Organisation (Baru), selain berjanji untuk berkempen bagi memastikan kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Kerelaan beliau meninggalkan parti Melayu itu kemudian mengundang caci-maki ramai pihak yang dahulunya tegar mempertahankan Mahathir sebagai wira bangsa. Hatta media tradisional yang dikawal kerajaan turut tidak lepas menyerangnya, menggambarkannya sebagai si pengkhianat yang telah berpaling daripada perjuangan UMNO sejak zaman berzaman.

IMG_6899UMNO bukan lagi macam dulu

“UMNO macam la ni tak dak UMNO dah,” katanya, ketika ditanya jika beliau sanggup melihat parti yang menjadi wadah perjuangan selama puluhan tahun kehilangan kuasa dalam usaha menjatuhkan Najib.

“Ini bukan parti UMNO. UMNO ada prinsip dia. Ini parti yang pertahan kepimpinan Najib. Dah jadi parti Najib,” ujarnya, meminggirkan diri tanpa memperlihatkan sedikit pun rasa sesal atau kecewa.

Mahathir marah betul dengan UMNO yang lebih baru daripada UMNO Baru. Baginya, UMNO versi Najib Razak adalah UMNO yang bertuhankan duit.

“Dia mempertahan rasuah,” tambahnya. “Cash is king, dia kata pada saya,” merujuk kepada Najib mengambil alih tampuk pemerintahan dengan restu Mahathir sendiri setelah membantu menjatuhkan presiden sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menaiki takhta UMNO dengan restu dan perkenan Mahathir juga.

Tuduhan-tuduhan Mahathir terhadap anak didik politiknya itu juga bukan sebarangan. “Dia bagi orang ni sejuta, orang tu sejuta, tak kan wakil rakyat lain nak senyap tak minta duit?” soal beliau. Pastinya dengan maklumat dalaman mengenai penyakit bawaan UMNO yang telah berakar sejak zaman pemerintahannya lagi.

Namun tidak adil untuk menuduh segalanya bermula sejak Mahathir mula memegang teraju parti pada 1981. Era awalnya amat popular di kalangan rakyat dengan pelbagai slogan dan usaha merancakkan kebosanan politik 1970an. Tetapi, tuduhan dan dakwaan rasuah serta salah guna kuasa mula lantang didengar pada pertengahan 1980an.

Pemimpin UMNO bodoh

Kini Mahathir pula yang marah dengan rasuah. “Pegawai kerajaan sekarang pun ambil duit sebab dia tengok pemimpin boleh ambil berbilion, tak kan dia tak boleh ambil sejuta, dua?” ujarnya, yang sejak mengambil alih kuasa daripada Almarhum Tun Hussein Onn memasarkan slogan-slogan seperti ‘Bersih, Cekap, Amanah’ dan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ sekitar Mac 1983.

Malang sekali slogan-slogan itu kemudiannya tidak diteladani, malah disalahtafsir sesuka hati, hatta menghasilkan produk-produk UMNO yang ternyata memalukan bekas presiden paling lamanya hari ini.

“Ketua cawangan UMNO, dia tak bagi orang yang ada kaliber masuk. Bila dia mati, siapa yang ganti dia? Orang lagi bodoh daripada dia. UMNO (sekarang) telah mengecut menjadi parti yang dipimpin orang bodoh, tak ada prinsip,” tegasnya.

Penyakit korupsi sememangnya difahami sebagai penyakit warisan dalaman UMNO. Memang korupnya UMNO itu bukan kerana nama atau perjuangannya tetapi disebabkan terlalu lama memegang tampuk kuasa. Ia satu trend kepada mana-mana parti di dunia ini yang biasanya berakhir dengan rakyat menolak mereka.

Korupsi dalam UMNO macam saka harimau yang melekat dengan sesiapa sahaja yang membuat perjanjian untuk bertaat setia dengan parti itu. Selesa dengan gaya hidup bermewah-mewah, rasa berkuasa untuk mengarah-arah dan menjadi tuan di kawasan masing-masing menjadi asas penyakit itu sukar dihakis.

Namun menurut Mahathir, “Boleh buang kalau nak buang”. Cumanya ternyata UMNO yang ditinggalkannya itu tidak pun membuang saka korupsi yang telah membarah, malah semakin rancak mempertahankannya sebagai satu cara hidup; menjadikan kita terus sangsi dan prejudis, serta sukar untuk meletakkan sebarang kepercayaan kepada apa sahaja yang membawa DNA UMNO.

Malah DNA Umno itu juga yang sedikit-sebanyak menjadi penghalang sokongan ramai pihak terhadap Deklarasi Rakyat yang digagaskan Mahathir awal Mac lalu bersama musuh-musuh politiknya. Hatta aktivis pilihan jalanraya, Hishamuddin Rais dan Maria Chin juga dibungkus bersama, dan dilabel pengkhianat oleh orang lama gerakan Reformasi 1998.

Anwar dan DAP

Disoal tentang penggabungannya bersama musuh-musuh zaman lampau, mantan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin parti politik menyertai muafakat Selamatkan Malaysia bukan sebagai pemimpin parti, hanya sebagai individu yang prihatin.

“Objektif hanya satu, singkirkan Najib,” ujarnya ketika menghuraikan kenapa soal gagasan reformasi institusi dan pembelaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dipersetujui secara langsung olehnya.

Malah, Mahathir kelihatan sedikit terganggu setiap kali nama Anwar Ibrahim disebut, dan berat sungguh nama itu mahu keluar dari antara dua bibirnya.

“Selagi mana Najib ada di situ, semua orang boleh bercakap, tentang reformasi atau apa saja. Tapi apa pun tak jadi. Buang Najib, kembali kepada demokrasi. Rakyat boleh buat pilihan mereka sendiri.

“Kalau Anwar keluar, tak kiralah. Kita balik kepada demokrasi. Rakyat akan pilih kerajaan yang bagaimana yang mereka mahukan. Apa jadi selepas itu, jika rakyat nak undi pilih Anwar, maka boleh pilih Anwar. Jika mereka memilih kerajaan yang akan membebaskan Anwar, maka itu hak mereka.

“Ini nak buat laporan polis pun ditangkap, nak ke luar negara pun mereka nak pantau, akhbar dan media massa dikawal,” jelasnya panjang lebar walau sedikit segan barangkali memandangkan dirinya sedang diwawancara lidah rasmi DAP. Kerana Mahathir memang sedar sejak zamannya akhbar pembangkang walau dibenar cetak, ia amat terhad. Media arus perdana pula seluruhnya dikawal aparat kerajaan di zamannya, setidak-tidaknya dengan undang-undang yang ada sejak dahulu hingga sekarang.

Pun begitu, baginya apa yang diperlukan sekarang ialah supaya Najib Razak segera disingkirkan.

IMG_7038Kini perlu reformasi politik?

“Kembali kepada kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan, hak bersuara dan berhimpun,” ujarnya, mengundang rasa terkejut kerana untuk kesekian kalinya beliau menyebut tentang hak berhimpun dan bersuara, berbeza jauh dengan era 1998 di mana yang berdemonstrasi diajar dengan belantan polis FRU dan yang bersuara habis diheret ke Kem Kamunting untuk ditahan tanpa bicara.

Barangkali itu dimensi lain yang tidak lagi dipedulikan Mahathir. Apa yang beliau mahu sekarang ialah singkirkan Najib, dan “lepas tu kita akan ada pilihanraya umum, tanpa Najib. Terserah lah kepada rakyat. Kalau nak sokong reformasi, boleh teruskan.”

“Rakyat akan pilih pemimpin mereka. Kena terima pilihan rakyat. Kalau rakyat salah pilih, kita akan berhadapan masalah, dan akan terus berpusing (dengan masalah yang sama).

“Kalau rakyat nak pilih DAP, saya tak boleh buat apa-apa.”

Bagaimana pula kalau rakyat mengekalkan Barisan Nasional dan UMNO? Tidakkah ia menjamin legasi korupsi parti bermasalah itu berterusan? Jika pengganti Najib juga daripada UMNO, bukankah akan tambah memberi masalah? Bukankah Mahathir sendiri kata pemimpin UMNO kini semuanya bodoh belaka?

Mahathir tidak pernah tidak ada jawapan, walaupun beliau tidak menjawab apa yang ditanya. Dan jawapannya jelas menunjukkan rasa sangat tidak senangnya terhadap suami Datin Seri Rosmah Mansor:

“Saya tak ingat orang lain boleh buat macam Najib buat. Najib, dia ada buat kesalahan. Dia tahu kalau dia tak ada kuasa (lagi), dia akan dihadap ke mahkamah. Dia tak boleh pertahan hutang RM42 bilion.”

Baginya, Najib juga pemerintahannya tidak demokratik, hatta menggunakan Speaker untuk halang undi tak percaya, menghalang perbahasan mengenai skandal 1MDB di Parlimen.

Mahathir barangkali belum siap menilai kemarahan rakyat, terutamanya di perhimpunan aman Bersih 4 yang beliau hadiri pada bulan Ogos tahun lalu, bersama setengah juta rakyat Malaysia yang menuntut Perdana Menteri supaya bercuti dan tidak menggugat siasatan ke atas dirinya sendiri.

Barangkali kerana beliau sendiri pun sudah lali dengan kemarahan rakyat terhadapnya sewaktu hari-hari Reformasi 1998, melibatkan tindakan memecat Anwar Ibrahim serta skandal-skandal kewangan negara yang berlaku di zaman beliau menjadi perdana menteri.

“Saya mengaku, di masa saya kehilangan duit ialah kerana usaha selamatkan negara,” katanya berkisah tentang tuduhan beberapa skandal kewangan melibatkan pentadbirannya yang ditulis mendiang Barry Wain, dalam bukunya ‘Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times’.

“Ini wartawan, dia nak tulis buku. Kalau tak sensasi, orang tak beli. Saya lah jadi mangsa,” katanya dalam nada berseloroh, cuba menjauhkan dirinya daripada disamakan dengan skandal 1MDB Najib Razak yang kini sudah melibatkan jumlah keterhutangan mencecah RM50 bilion, selain skandal ‘derma’ orang kaya Arab Saudi yang dilaporkan Wall Street Journal mencecah RM4.2 bilion – yang kononnya dikembalikan sebahagiannya.

“Najib hutang. Saya tak hutang. Saya peruntukkan duit kerajaan, bukan untuk saya. Bila sudah ada peruntukan, penjawat awam lah punya kerja. Saya tak terlibat mengubah duit itu ke sana sini,” katanya, melepaskan berdas-das tembakan suara terhadap Perdana Menteri.

“Najib adalah principal dalam 1MDB. Nak buat apa pun mesti dapat tandatangan dia. Dialah CEO dalam 1MDB, walaupun dia panggil diri dia penasihat.”

IMG_6925Doa Fadzil Noor

Apabila ditanya sama ada Najib melakukan semua ini hasil didikan Mahathir sepanjang tempoh beliau membentuk peribadi politik pimpinan UMNO, tokoh veteran itu membalas, “Banyak orang belajar daripada saya, bukan semua ikut. Yang ni yang gagal. Yang ni, niat dia lain.”

Beliau turut berikrar untuk turun berkempen di dua pilihanraya kecil Parlimen pada 18 Jun ini demi menewaskan jentera kempen Barisan Nasional yang pastinya akan berjenamakan wajah tersenyum Najib Razak.

Ditanya kenapa tidak beliau sahaja yang bertanding di Sungai Besar untuk kembali ke Parlimen, Mahathir senyum menjawab: “Saya tak mahu jadi calon. Umur saya sudah lanjut. Mereka yang sokong Deklarasi Rakyat mesti sokong siapa sahaja yang menentang Najib.”

Barangkali apa yang dilalui Mahathir sekarang adalah makbulnya doa Almarhum Ustaz Fadzil Noor, pemimpin PAS, agar mantan Perdana Menteri itu dipanjangkan umur untuk menyaksikan sendiri kerosakan yang dilakukannya kepada rakyat dan negara dengan cara yang zalim dan tidak demokratik.

Mahathir kini sedang jenuh merungkai dan meroboh legasi puluhan tahun lalu, dengan tangannya sendiri. Dan ia satu usaha yang amat sukar kerana jutaan ahli UMNO masih percaya apa yang Mahathir ajar mereka dahulu, iaitu sentiasa taat dan jangan melawan pucuk pimpinan parti. – Roketkini.com