Berita

Akta Majlis Keselamatan Negara adalah ‘Akta Derhaka’

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Akta Majlis Keselamatan Negara adalah ‘akta derhaka’ kerana ia telah diluluskan tanpa mengambil peduli titah Majlis Raja-raja supaya diperhalusi kandungannya mahupun perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

Demikian reaksi Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng terhadap akta yang menurutnya adalah simbol penderhakaan UMNO yang telah mencuri kuasa Raja-raja Melayu.

“Sebuah ‘orde baru’ telah muncul di negara ini dalam bentuk Majlis Keselamatan Negara, atau apa yang saya lebih suka panggil sebagai ‘Majlis Keselamatan Negara UMNO (MKN UMNO)’.

“Ini kerana keseluruhan anggota majlis dan ketua pengarahnya dilantik oleh Perdana Menteri, tanpa sebarang campur tangan daripada Majlis Raja-raja, Kabinet atau pun Parlimen sendiri,” ujar beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Lebih membimbangkan katanya, tafsiran ‘keselamatan negara’ tidak dihuraikan secara panjang lebar di dalam akta baru itu.

“Adakah mungkin satu hari nanti, karikatur pemimpin UMNO atau tindakan menggugurkan belon di pusat membeli belah pun ditafsir sebagai menggugat keselamatan negara?” soalnya.

Menurut Lip Eng lagi, ‘Orde Baru’ ini menjadikan MKN sebagai ketua turus angkatan bersenjata, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Angkatan Tentera 1972 yang memperuntukkan dengan jelas bahawa Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua turus angkatan tentera.

“Akta yang asalnya bertujuan memerangi pengganas dan penjenayah ini tidak meletakkan had dan jaminan bahawa mereka yang berlainan pendapat dengan kerajaan tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan di bawah akta ini,” tambah beliau.

Akta MKN digazetkan sebagai undang-undang tanpa sebarang pindaan selepas gagal mendapatkan perkenan Diraja setelah luput tempoh 30 hari Selasa lalu. – Roketkini.com