Rencana

Janganlah heret nama Tuhan dalam politik

Belum cukup dengan memperoleh kemenangan pada Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang baru sahaja tamat minggu lalu, kini Barisan Nasional mahu mengheret nama Tuhan dan meletakkan alasan ‘keredhaanNya’ sebagai pencetus kejayaan berkenaan.

Ini setelah Presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang muncul sedondon dengan baju Melayu berona merah jambu bersama Najib Razak dalam satu pentas penyatuan Ummah, menerima kekalahan PAS kepada BN dengan hati terbuka, sambil menyeru supaya pengikutnya jangan bersedih dan terima sahaja ketentuan Tuhan.

Kini, Najib pula mengambil giliran mempergunakan nama Tuhan untuk meraikan kejayaan jentera-jentera parti yang sudah bertungkus lumus menawarkan ‘janji-janji’ dan hadiah kepada pengundi, selaras dengan apa yang pernah disuarakan ‘penasihat’nya itu.

Najib dilaporkan media sebagai berkata:

“Semalam saya bagi tahu saya hendak lebih 5,000, ada orang kata tidak mungkin tapi Alhamdulillah Tuhan telah makbulkan doa, Tuhan beri kemenangan yang luar biasa, yang luar daripada dugaan kita”

Adakah trend mengatasnamakan Tuhan akan terus berulang? Mungkin. Apakah Najib akan mengatakan bahawa tindakan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang membersihkan namanya daripada sebarang salah laku melibatkan 1MDB juga satu ketentuan tuhan? Tidak mustahil untuk meramalnya.

Malah, mungkin, jika negara hancur di bawah pentadbiran BN, Hadi yang kini penasihat Najib akan menawarkan alasan sedemikian bagu digunapakai untuk menutup keresahan rakyat di negara ini, semudah itu.

Apa pun, kenyataan kedua-dua pemimpin yang mula menyerlahkan bibit-bibit kerjasama erat dan mesra atas nama agama dan bangsa itu tidak boleh diterima jika kita mahu satu alasan yang konkrit dan rasional. – Roketkini.com