Berita

Mufti digesa perkasa masyarakat, bukan anjurkan ekstremisme

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Institusi mufti sepatutnya mempelopori isu golongan terpinggir, menegur salah guna kuasa dan korupsi serta mengangkat wacana-wacana segar, dan bukannya terpengaruh dengan politik partisan sehingga mencetus elemen keganasan yang mengancam keamanan negara.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof berkata beliau kecewa dengan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman seperti dilapor Utusan yang melabel DAP sebagai ‘kafir harbi’ serta menyeru agar parti itu diperangi.

Menurutnya, gelaran ‘harbi’ dan seruan memerangi DAP tersebut seolah-olah menghantar isyarat kepada umum bahawa adalah halal untuk bertindak ganas ke atas mana-mana ahli atau penyokong parti berkenaan, lantas membahayakan keselamatan rakyat di negara ini.

“Pemikiran mengharbikan yang kafir seperti ini amat berbahaya kerana ia boleh mencetuskan tindakan ganas berikutan ramai percaya bahawa kafir harbi itu wajib diperangi dan halal dibunuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Edry menjelaskan bahawa kenyataan Mufti Pahang memanggil DAP sebagai harbi dengan alasan parti itu tidak bersetuju dengan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah jelas menunjukkan ia berat sebelah dan bermotif politik.

Sedangkan, parti-parti komponen Barisan Nasional terutama di Sabah dan Sarawak yang secara terbuka menyatakan penentangan mereka terhadap pelaksanaan hukum hudud, namun mereka tidak dikecam sebagai golongan yang wajib diperangi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Selayang berkata, sebagai seorang Mufti, Dr. Abdul Rahman tidak patut dengan mudah menuduh sesiapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud dan RUU Persendirian Mahkamah Syariah itu sebagai menentang Islam.

“Ada pelbagai pendapat dari sudut Perlembagaan, perundangan dan sistem politik yang menjadi asas kepada mengapa pihak-pihak tertentu tidak bersetuju dengan pelaksanaan tersebut, bukannya kerana membenci Islam.

“Malah, kewajaran melaksanakan hukum hudud pada zaman ini pun masih lagi diperdebatkan di kalangan sarjana Islam serata dunia,” ujarnya.

Akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia hari ini melaporkan Rahman sebagai berkata adalah haram dan berdosa besar jika umat Islam bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP.

Akhbar sama turut melaporkan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata DAP merupakan musuh yang nyata buat Islam dan menggesa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi bekerjasama dengan parti itu. – Roketkini.com