Rencana

Referendum bagi warga ibu kota Kuala Lumpur?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu tweet beliau pasca referendum ‘Brexit’ mengatakan bahawa pengundi UK telah bersuara dan “Sebagai demokrat, kita mesti menghormati keputusan terbabit.” (“As democrats, we must respect the result.”)

Saya juga, sebagai seorang demokrat sangat bersetuju bahawa pungutan suara ramai wajar dilakukan untuk isu-isu yang penting, dan keputusan referendum itu mestilah dihormati dan dipatuhi.

Sebagai demokrat, harus wujud sistem semak imbang yang baik di dalam negara, terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur. Buat masa ini, belanjawan RM2.72 bilion tahun ini untuk DBKL tidak didedahkan kepada orang ramai. Kuala Lumpur juga tidak mempunyai anggota dewan yang dilantik warga kota, manakala datuk bandarnya pula hanya bertanggungjawab kepada menteri Barisan Nasional (BN).

Sekiranya Najib boleh bersetuju dengan model referendum ‘Brexit’, sebagai demokrat, saya rasa beliau tidak akan menolak sekiranya Kuala Lumpur mengadakan referendum supaya warganya boleh memilih sama ada mereka mahukan datuk bandar yang dilantik melalui sistem demokrasi serta bertanggungjawab kepada rakyat KL, berbanding seorang individu yang hanya menerima arahan daripada BN.

Sebagai demokrat, kita juga mesti menolak perbuatan membazir wang rakyat termasuklah dengan wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan yang mempunyai peruntukan sebanyak RM1.32 bilion, tidak campur peruntukan RM2.72 bilion untuk DBKL tahun ini.

Buat apa ada Kementerian Wilayah Persekutuan? Bukankah peruntukan RM1.32 bilion itu boleh kita gunakan membina sekolah-sekolah baru dan bukankah kementerian itu pernah ditiadakan pada tahun 1981?

Referendum yang saya cadangkan ini juga boleh memberi peluang kepada warga Kuala Lumpur untuk membuat keputusan sama ada kita boleh mansuhkan sahaja Kementerian Wilayah Persekutuan. – Roketkini.com

*Lim Lip Eng ialah Ahli Parlimen Segambut