Berita

Mufti Pahang label DAP ‘kafir harbi’ bermotif politik

GEORGETOWN, 26 JUN: Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang melabel DAP sebagai ‘kafir harbi’ atas alasan kononnya parti itu menentang undang-undang hudud dibidas Penolong Setiausaha Publisitinya, Zairil Khir Johari.

Menyifatkan ia sebagai sasaran yang bermotifkan politik, Zairil dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan hudud dalam konteks hukum Islam, sebaliknya melihat ia dalam kerangka Perlembagaan dan masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.

“Malangnya, pendirian ini diputar belit sehingga dijadikan alasan untuk melabelkan DAP sebagai anti-Islam,” katanya.

Malah, jelasnya lagi, Rang Undang-Undang Persendirian ‘hudud’ yang dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang beberapa minggu lalu itu bukan sahaja dikritik oleh DAP, malah parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain.

“Hukum hudud versi PAS bukan hanya dikritik oleh DAP, malah ditentang lebih keras oleh sekutu BN sendiri termasuk Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, serta Nancy Shukri yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Demikian juga dengan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA yang jauh lebih lantang menolak pelaksanaan hudud. Mengapa tiada sebarang kecaman dan ugutan untuk diperangi terhadap mereka ini?

“Malahan, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun melihat hudud yang dijuarai PAS sebagai taktik politik semata-mata, dan tidak melihat adanya keperluan melaksanakan undang-undang ini melainkan hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat. Apakah beliau juga wajib diperangi?” soalnya.

Abdul Rahman dilaporkan media arus perdana sebagai berkata “hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar”, justeru atas alasan itu mufti berkenaan menggelar DAP sebagai ‘kafir harbi’.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera turut membidas Abdul Rahman yang didakwa berdiam diri dalam isu yang melibatkan isu alam sekitar seperti skandal bauksit di Kuantan dan hutan simpan di Cameron Highlands yang ditarah secara berleluasa.

Sedangkan ia jelas “terhasil daripada kerakusan dan kepincangan yang nyata oleh pemerintah”, tambahnya.

“Sebagai seorang yang bergelar ulama, Abdul Rahman sepatutnya mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Sebaliknya, beliau lagi sanggup bersikap takfiri (mengkafirkan sesama Muslim) dan mengundang keganasan melalui tohmahan bahaya dan bermotifkan politik semata-mata untuk menghalalkan politik zalim pemerintah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan atas gelaran ‘kafir harbi’ yang disifatkannya sebagai berbahaya kerana seolah-olah mengesahkan ugutan keganasan terhadap rakyat dan pihak berkuasa Malaysia yang dibuat oleh militan Negara Islam (IS) baru-baru ini.

“Justeru, adakah Abdul Rahman ingin bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini terhadap pemimpin atau ahli DAP akibat tindak balas mereka yang terpedaya dengan kenyataan beliau?” soalnya.

Selasa lalu, menerusi video propaganda militan IS seorang rakyat Malaysia yang sedang berperang di Syria menggesa penyokong rangkaian pengganas berkenaan untuk menggunakan sebarang cara untuk membunuh orang-orang kafir. – Roketkini.com