Berita

‘Kafir Harbi’ label menghalalkan darah, Ketua Polis Negara digesa bertindak

PUCHONG, 27 JUN: Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo mempersoalkan sikap berdiam diri Ketua Polis Negara berhubung kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menggelarkan DAP sebagai ‘kafir harbi’.

Menyifatkan kenyataan tersebut sebagai berbahaya, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, pihak polis seharusnya memainkan peranan sebagai penguatkuasa undang-undang dalam isu tersebut, justeru sikap berdiam diri bukanlah pilihan.

“Kita melihat tindakan pantas diambil apabila adanya kes-kes yang melibatkan perkara yang dikatakan sebagai sensitif. Jadi, apa yang berbeza dalam kes yang ini?

“Kita ada undang-undang dalam negara ini. Kita mahu lihat undang-undang ini dikuatkuasakan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa DAP sebagai parti yang menjunjung tinggi Perlembagaan Negara, sekaligus mengakui Islam sebagai agama rasmi, tidak pernah sesekali mengisytiharkan perang terhadap agama Islam.

Jumaat lalu, Abdul Rahman dilaporkan media melabel DAP sebagai ‘kafir harbi’ ekoran kritikan parti itu terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Menurut pandangan ilmuan Islam, golongan kafir harbi boleh dibunuh, dan harta mereka boleh dirampas kerana tindakan mereka memerangi Islam.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan drastik dari polis diambil berhubung kenyataan terbabit.

Justeru, Gobind dalam kenyataan yang sama menggesa supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan pendirian dan tindakan yang akan diambil ekoran daripada kenyataan berbahaya yang dikeluarkan mufti berkenaan.

“Saya fikir soalan yang berlegar dalam fikiran masyarakat ketika ini adalah, adakah KPN sebenarnya setuju atau tidak dengan kenyataan Mufti berkenaan? Jika beliau tidak bersetuju, persoalannya apakah tindakan susulan yang akan diambil?

“Ia adalah perkara yang amat penting kepada masyarakat umum. Saya justeru menggesa supaya beliau memberikan maklum balas dengan segera,” tegasnya. – Roketkini.com