Berita

Mitos ‘Melayu hilang kuasa jika Umno tumbang’ perlu dihapuskan

PONTIAN, 27 JUN: Malaysia tidak akan bergerak daripada politik mundur berbaur perkauman dan membina landasan politik baru berasaskan isu, jika tiga mitos yang dialami masyarakat di negara ini tidak dapat dihapuskan, dakwa Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, dua daripada tiga mitos tersebut bagaimanapun telah pun dibuktikan tidak relevan dalam dua pilihanraya umum yang lalu.

Menurutnya, dua mitos yang mengatakan bahawa kaum Cina bakal musnah jika MCA dikalahkan dan nasib kaum India bakal terjejas jika MIC ditewaskan telah dipatahkan dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12 dan Ke-13.

Bagaimanapun, menurutnya, pola politik perkauman sedemikian tidak akan terhenti melainkan mitos ketiga yang mendakwa kaum Melayu bakal menjadi kaum yang terpinggir jika UMNO berjaya diatasi pembangkang, berjaya dinafikan.

“Ia adalah penipuan yang nyata, kerana kaum Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik jika UMNO ditendang keluar dari Putrajaya,” katanya dalam ceramah kopitiam di Pekan Nenas semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Moha­mad yang mendakwa bahawa kaum Melayu bakal musnah sekiranya UMNO ditumbangkan.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kaum Melayu tidak akan kehilangan kuasa ekoran peratusan populasi kaum berkenaan yang meningkat saban tahun berbanding kaum lain di negara ini.

“Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, majoriti 114 adalah kerusi yang dipegang kaum Melayu yang mewakili 70 peratus, manakala 22 majoriti kerusi kaum Cina dan 29 kerusi campuran. Tidak ada satu pun kerusi majoriti dari kaum India,” tambahnya.

Justeru katanya, Malaysia tidak akan menjadi negara demokrasi yang normal seperti negara rantau lain sehinggalah mitos Melayu hilang kuasa itu dibuktikan palsu semata-mata. – Roketkini.com