Berita

Sikap mufti Pahang tidak tonjol akhlak Islam sebenar

GEORGE TOWN, 27 JUN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman melabelkan DAP sebagai ‘kafir harbi’ adalah keterlaluan dan tidak melambangkan fahaman Islam yang sebenar.

Katanya, DAP tidak pernah sesekali menentang Islam, malah menghormati Islam sebagai agama rasmi persekutuan dengan menyediakan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam, membina sekolah-sekolah agama dan menderma tanah bagi pembinaan kompleks mahkamah syariah.

Malah, jelas Guan Eng, baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang menyumbangkan RM15 juta untuk menaik taraf sekolah agama rakyat, Pusat Pendidikan Al-Itqan di Teluk Kumbar yang menguntungkan pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem juga tidak bersetuju dengan hudud kerana ia bercanggah dengan perlembagaan, tetapi adakah (beliau) boleh digelar sebagai kafir harbi dan diancam bunuh?

“Saya percaya (kenyataan Mufti Pahang) itu bukan (fahaman) Islam sebenar, yang kami belajar dari orang-orang Islam,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Komtar semalam bagi mengulas kenyataan Mufti Pahang yang mencetuskan kontroversi itu.

Abdul Rahman juga dilaporkan oleh akhbar UMNO, UtusanOnline sebagai berkata, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meminta Abdul Rahman menarik kembali kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada parti itu atas kenyataan tersebut.

Katanya lagi, Mufti Pahang telah mengguris perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini, dan menasihatkan beliau untuk menjernihkan salah faham penganut agama lain terhadap ajaran Islam yang sebenar.

“Saya tidak sangka kenyataan begitu boleh dilafazkan oleh seorang mufti. Saya berharap perkara ini boleh diperbetulkan sempena bulan Ramadan,” ujarnya. – Roketkini.com