Berita

Diusir Iskandar Waterfront Holding, penduduk kampung tuntut pampasan setimpal

JOHOR BAHRU, 28 JUN: Penduduk Kampung Bakar Baru dan Kampung Sungai Perling yang menerima notis pengusiran oleh Iskandar Waterfront Holding tempoh hari menuntut supaya pemaju hartanah terbabit memberikan pampasan yang setimpal.

Menurut wakil kepada penduduk kedua-dua kampung terbabit, Norman Abdul Hamid, pampasan RM15,000 yang diberikan pemaju adalah tidak mencukupi ekoran terpaksa menanggung pelbagai kos lain seperti kos perpindahan dan kos pertukaran sekolah.

Norman turut mendakwa rumah ganti yang diberikan pemaju hanyalah berstatus sewaan dan bukan pemilikan tetap.

Justeru beliau menuntut supaya pemaju hartanah dan juga kerajaan negeri menemui mereka, sekaligus memberikan pembelaan yang adil dan setimpal, sambil menegaskan bahawa ia bukanlah bererti penduduk kampung yang terjejas menolak sebarang aktiviti pembangunan.

Sehingga kini, sekitar 18 daripada 150 keluarga telah mengambil pampasan berkenaan dan berpindah. Manakala, baki penduduk masih kekal tinggal di sini menunggu hasil rundingan dengan pihak pemaju berhubung tambahan jumlah pampasan yang setimpal.

Beliau bercakap dalam sidang media yang diadakan di majlis berbuka puasa yang dilaksanakan oleh Impian Johor dan Pusat Komuniti Pengkalan Rinting.

Dalam majlis berkenaan pihak DAP juga turut menyampaikan sumbangan kepada golongan warga emas serta ibu tunggal. Sekitar 20 golongan Asnaf pula menerima bantuan keperluan asas.

Hadir ke majlis berkenaan ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How, dan Pengarah Impian Johor, Mahdzir Ibrahim.

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang turut melahirkan simpati dan kesal atas nasib yang menimpa penduduk kedua-dua kampung berkenaan, malah beliau turut mendesak supaya pihak pemaju tampil untuk berunding dengan wakil penduduk yang terjejas.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah pula menyeru supaya penduduk di sini agar tidak mengalah dan terus bersatu melawan ketidakadilan. – Roketkini.com