Berita

Lim Guan Eng ditahan SPRM, didakwa di mahkamah esok

GEORGE TOWN, 29 JUN: “Jumpa esok.“ Demikian pesan terakhir Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Exco, pegawai-pegawai kerajaan negeri sebelum ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini petang tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP dibawa meninggalkan pejabatnya di Komtar sekitar jam 6.30 petang selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

Guan Eng ditahan pihak SPRM dan akan didakwa di Mahkamah Seysen Pulau Pinang esok pagi bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua pertuduhan adalah berhubung dakwaan salahguna kuasa dan penerimaan rasuah berkait skandal pembelian rumahnya, yang telah mula disiasat sejak pertengahan Mac lalu.

Sementara itu, rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang dan ahli parti diminta bertenang berikutan penahanan tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, menyifatkan tindakan itu bertujuan mematikan kerjaya politik Guan Eng.

Jelasnya, setakat ini tidak ada tuduhan disabitkan di atas isu Taman Manggis.

“Kami merasa kesal dan terkejut bahawa SPRM akan mendakwa saudara Lim atas dua kesalahan di Mahkamah Seksyen George Town pagi esok,” katanya.

DAP Pulau Pinang turut dijadual mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri tergempar esok untuk membuat keputusan bagi menangani krisis tersebut.

“DAP Negeri Pulau Pinang menyeru kepada semua ahli dan penyokong di Negeri Pulau Pinang dan seluruh Malaysia untuk bertenang menghadapi pemasalahan ini dan menunggu arahan parti selanjutnya.

“Pesanan Saudara Lim Guan Eng kepada saya adalah menguatkan semangat menghadapi krisis politik ini dan memastikan parti dan Kerajaan Negeri tetap kukuh dalam masa ini,” tambah beliau. – Roketkini.com