Berita

Mufti Pahang dirayu henti salahguna agama demi kepentingan politik songsang

MENTAKAB, 29 JUN: Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman tidak lebih hanya sekadar menggunakan agama sebagai cara untuk mendapat kepentingan politik dari kerajaan pemerintah UMNO-Barisan Nasional dan mengalihkan perhatian umum daripada isu-isu semasa.

Mengulas kenyataan terbabit, Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, isu tersebut dimainkan sekali lagi kerana dua sebab utama.

“Pertama untuk mengalih peristiwa pemecatan Datuk Seri Muhyiddin Yasin (Mantan Timbalan Perdana Menter) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Mantan Menteri Besar Kedah) dan penggantungan Datuk Seri Haji Mohd Shafie Apdal yang mana mereka ini berkemungkinan besar akan bekerja sama dengan pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib yang korup di mata dunia.

“Kedua, mungkin Mufti Pahang ini sengaja mencari peluang untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum akan datang, maka dengan itu, beliau telah dengan lebih awal lagi melakukan kerja-kerja melobi,” katanya kepada Roketkini.com.

Malah, menurut Tengku Zul yang juga Adun Mentakab, tindakan melabel itu juga tidak didasari dengan alasan-alasan yang kukuh, sekaligus tuduhan sedemikian tidak wajar dilemparkan oleh institusi agama Islam.

“Sepatutnya beliau tidak bermain politik. Tunggulah tempoh bersara atau letak jawatan baru boleh bersilat dalam gelanggang politik. Jangan guna agama untuk kepentingan politik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keengganan Abdul Osman untuk memohon maaf berhubung isu ‘kafir harbi’ berkenaan setelah beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng memohon supaya mufti berkenaan memohon maaf.

Penggunaan istilah kafir harbi membawa maksud golongan yang boleh dibunuh, dan harta mereka boleh dirampas kerana tindakan mereka memerangi Islam. – Roketkini.com