Berita

Adakah Najib akan diperlakukan seperti pemimpin pembangkang?

KOTA KINABALU, 30 JUN: “Adakah Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil untuk siasatan dan ditahan, diperlakukan sebagaimana yang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin pembangkang?” soal Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt, melahirkan rasa kesal terhadap penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam.

Ahli Parlimen Sandakan itu berkata tangkapan ke atas Guan Eng di pejabatnya selepas mempengerusikan mesyuarat exco petang semalam mengimbau kembali insiden penahanan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 dengan iringan unit polis khas bertopeng.

Katanya, tindakan semberono pihak berkuasa juga dapat dilihat semasa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ditahan pada jam tiga pagi di kediamannya melibatkan isu perhimpunan aman.

“Apa yang berlaku (kepada pimpinan pembangkang) jelas tindakan pilih kasih, kita memang tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya tetapi melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan cara pihak berkuasa bertindak,” katanya.

Jelasnya, sejak Tan Sri Apandi Ali mengambil alih jawatan Peguam Negara, beliau bukan sahaja ‘menyucikan’ Najib dalam skandal mega 1MDB malah dilaporkan berkata berbohong bukan satu jenayah.

Dalam situasi ini, termasuk kemenangan besar Barisan Nasional di Sarawak dan dua pilihanraya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Stephen berkata ia sudah tentu memberi kelebihan kepada Najib untuk mengadakan pilihanraya.

“Ini adalah masa kita sedang diuji. Kami menyeru seluruh rakyat Sabah untuk teguh berdiri bersama kebenaran. Berdiri bersama Anwar dan Guan Eng, teguh bersama pembangkang dan kukuhkan kerjasama,” tegas beliau. – Roketkini.com