Berita

DAP kutuk pendakwaan bermotifkan politik terhadap Guan Eng

KUALA LUMPUR, 30 JUN: DAP mengutuk penganiayaan bermotifkan politik terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ekoran penahanannya semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Ketua Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, segala bukti bagi menafikan keterlibatan Guan Eng di dalam pertuduhan terbabit telah dijelaskan, di mana tidak ada kontrak atau faedah yang diberikan kepada pemilik asal banglo yang menjadi tumpuan pendakwaan rasuah ke atas Guan Eng hari ini.

“Justeru, langkah SPRM untuk mendakwa Lim, yang kebetulan tepat dengan peletakan jawatan dua pegawai SPRM beberapa hari sebelum ini, jelas bertujuan untuk menghancurkan karier politik beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, ia bukanlah kali pertama Setiausaha Agung DAP itu ditindas oleh kerajaan UMNO-BN, pada 1994 Guan Eng telah ditahan mengikut Akta Hasutan dan Aktan Mesin Cetak dan Penerbitan kerana mengkritik kes cabul melibatkan bekas Ketua Menteri Melaka.

“Walaupun beliau dipenjarakan, Lim tidak pernah hilang kepercayaan rakyat dan segera diundi masuk semula ke dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008.

“Beliau telah membuktikan kemampuan pembangkang memerintah di Malaysia dan membawa  Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang paling disegani di negara ini,” katanya.

Justeru, Tony menyeru rakyat Malaysia yang mempunyai harapan terhadap kerajaan yang berwibawa, bertanggungjawab dan telus untuk menunjukkan solidariti bersama-sama Guan Eng dan Pakatan Harapan dalam usaha untuk menumbangkan rejim BN yang korup dan menindas.

“Kami percaya terhadap integriti dan ketidakterlibatan Lim Guan Eng (dalam pertuduhan itu) dan kami akan berdiri teguh dengan beliau untuk melawan pendakwaan yang dibuat tanpa asas undang-undang ini,” tegasnya. – Roketkini.com