Berita

Fokus ekonomi rakyat, jangan harap pilihanraya bersih

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Di samping terus memperjuangkan pembaharuan politik, Pakatan Harapan akan memberi sepenuh fokus kepada memperkasa dan meningkatkan tahap ekonomi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata rakyat bukan sahaja perlu melihat Pakatan Harapan sebagai pembawa perubahan, tetapi sebagai satu gabungan politik yang mampu membawa pendemokrasian ekonomi, lebih-lebih lagi dalam kelembapan ekonomi hari ini.

“Dalam keadaan hari ini, kita tidak harus menjangkakan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Selagi UMNO BN menggunakan taktik-taktik kotor, kita (Pakatan Harapan) memang  menghadapi cabaran getir untuk mengalahkan mereka dalam pilihanraya umum akan datang.

“Jadi, apa yang paling penting adalah menyusun satu pergerakan yang menawarkan visi ekonomi serta dasar-dasar yang meningkatkan taraf hidup rakyat kelas pertengahan dan bawahan,” ujarnya dalam forum “Malaysia: Masih Adakah Harapan?” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata keputusan pilihanraya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menunjukkan bahawa masa yang lebih banyak diperlukan untuk meyakinkan rakyat untuk memilih Pakatan Harapan.

Jelasnya, rakyat hari ini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi berhubung salah laku dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Najib, namun taktik-taktik politik yang digunakan BN berjaya memenangi hati mereka semasa hari mengundi.

“Contohnya semasa pilihanraya kecil Kuala Kangsar baru-baru ini, BN berjanji untuk membina dewan komuniti di Kampung Jerlun jika menang kerusi tersebut.

“Selama 15 tahun tidak pernah mereka bina dewan komuniti, namun semasa pilihanraya, janji-janji sebegitu berjaya memenangi hati penduduk.

“Perkara sama terjadi di Sungai Besar, apabila Datuk Seri Zahid Hamidi berjanji kepada nelayan-nelayan di Sekinchan bahawa mereka akan diberikan lesen untuk mengambil pekerja asing bekerja di bot mereka.

“Padahal, nelayan-nelayan di Bagan Datoh, kawasan yang dimenangi oleh Zahid sendiri mengalami masalah yang sama, namun beliau tidak pernah pun ambil peduli tentang perkara itu di sana,” katanya.

Pertandingan tiga penjuru adalah realiti politik

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut menjadi panelis dalam forum itu pula meminta semua pihak menerima realiti politik bahawa Pakatan Harapan bakal berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata, BN akan cuba menghalang parti-parti pembangkang bersatu untuk memecahkan undi pada pilihanraya, sekaligus meningkatkan peratusan kemenangan mereka.

“Suka atau tidak, kita perlu menerima pertandingan tiga penjuru sebagai satu realiti politik. Lebih cepat kita bersedia dan mengatur strategi, itu lebih baik.

“Mereka dalam DAP dan PKR yang tidak bersetuju dengan pertandingan tiga penjuru mungkin akan berdepan dengan calon PAS bertanding di kerusi mereka dalam pilihanraya akan datang,” ujar Pengarah Komunikasi Amanah itu.

Beliau menjangkakan PAS akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang akan datang. – Roketkini.com