Berita

Pendakwaan terhadap Guan Eng penindasan terancang UMNO

GEORGETOWN, 30 JUN: Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Syerleena Abdul Rashid mendakwa wujud satu bentuk penindasan sistematik yang dilakukan kerajaan parti pemerintah, UMNO-Barisan Nasional terhadap pemimpin pembangkang dan rakyat di negara ini.

Menurutnya, penindasan terancang seumpama itu digunakan bagi menyebarkan ketakutan terhadap blok pembangkang dan rakyat yang lantang mengkritik cara urus tadbir kerajaan korup UMNO-BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Malah, katanya, penindasan itu juga dilihat semakin menjadi-jadi setelah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas tuduhan liwat yang tidak berasas.

“Adalah jelas bahawa di Malaysia, memang wujud penganiayaan sistematik, di mana kerajaan yang memerintah sekarang bertindak secara konsisten penganiayaan terhadap pihak pembangkang.

“Sekatan yang dikenakan ke atas hak asasi manusia adalah amalan yang dimulakan oleh pentadbiran Najib untuk menyebarkan ketakutan melampau di kalangan rakyat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam.

Dalam pada itu, Syerleena turut menyifatkan tindakan penahanan itu sebagai pendakwaan terpilih, ekoran Ketua Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang kini mengetuai pendakwaan terhadap Guan Eng pernah melepaskan Najib daripada sebarang salah laku melibatkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindakan Apandi itu, katanya, jelas bakal mengakibatkan krisis perlembagaan yang lebih buruk jika penyalahgunaan kuasa dan jentera-jentera kerajaan berterusan berlaku.

“Rakyat Malaysia tidak akan tunduk menjilat dan tidak akan berdiam diri; kita hanya akan menjadi lebih kuat, berani dan lebih tegas,” tambahnya. – Roketkini.com