Rencana

“Saya tidak akan hidup melutut”

Dua pertuduhan terhadap saya di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kanun Keseksaan atas dakwaan rasuah adalah tindakan penganiayaan politik yang dilaksanakan dengan tujuan menghancurkan saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya telah menjelaskan kepada SPRM bahawa pembelian rumah daripada Cik Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.

Cik Phang adalah rakan isteri saya dan tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan yang aktif dengan kerajaan negeri. Beliau bukan pemaju perumahan dan rumah yang dijual kepada saya untuk harga RM2.8 juta telah dibina pada tahun 1980’an.

Telah ada usaha untuk menyamakan kes saya dengan kes bekas menteri besar Selangor, Mohd Khir Toyo. Ini sama sekali salah. Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang tidak rugi sehingga RM5 juta, malah memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM300 ribu daripada harga asal RM2.5 juta yang dibayarnya. Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang bukanlah pemaju perumahan yang haru bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya.

Tentang pertuduhan kedua berkait kelulusan permohonan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (MESB) untuk menukar status tanahnya daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan; MESB tidak berjaya melakukan pertukaran status hartanahnya kepada tanah perumahan. Hartanah tersebut masih kekal sebagai tanah pertanian. Apa faedah yang didapati MESB apabila ia tidak mendapat kelulusan pertukaran status terbabit apabila ia tidak mendapat izin akhir daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Saya juga hairan dengan apa yang bermula sebagai serangan politik jahat terhadap saya kononnya menjual tanah Taman Manggis yang sepatutnya diberikan kepada orang miskin akhirnya berakhir tanpa sebarang penghujung. Apa guna menteri BN kecoh-kecoh tentang Taman Manggis? Jelas sekali tidak ada apa-apa yang salah dengan penjualan tanah Taman Manggis, dan sebaliknya saya didakwa kerana membuat keputusan bagi MESB yang akhirnya tidak pun memberi mereka sebarang faedah.

Malangnya tidak ada pun tuduhan rasuah apabila wujud keterhutangan sehingga RM50 bilion atau apabila wang berjumlah RM2.6 bilion atau RM4 bilion masuk ke dalam akaun peribadi anda. Tetapi boleh pula wujud rasuah apabila orang yang dituduh korup tidak pula mendapat sebarang faedah.

Saya tidak akan tunduk terhadap permainan politik jahat dan kotor yang bertujuan menghancurkan reputasi saya mahupun imej negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang paling bersih dan paling baik urus tadbirnya di Malaysia. Kami bangga dengan pelaksanaan tender terbuka dan bangga dengan pujian daripada Transparency International dan laporan tahunan Ketua Audit Negara. Kita tidak akan biarkan BN untuk cuba memalit lumpur ke muka kita demi menyembunyikan skandal rasuahnya sendiri. Kita akan buktikan bahawa kita tidak bersalah di mahkamah.

Kita akan berjuang untuk membuktikan bahawa kerajaan Pakatan adalah kerajaan yang mendahulukan rakyat, dan menjulang tinggi prinsip-prinsip integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi. Masih ada harapan untuk Malaysia ang bersih dan bebas daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan. Kita tidak boleh biarkan BN merompak masa depan anak cucu kita, sebagaimana mereka telah merompak masa depan kita.

Negara jenis apa yang kita mahu untuk anak cucu kita nanti, apabila mereka yang meraih untung dan derma berbilion ringgit tidak dituduh rasuah, sedangkan mereka yang tidak mendapat faedah didakwa rasuah.

BN boleh dakwa saya, tetapi tidak akan dapat membunuh iltizam saya demi membebaskan Malaysia daripada rasuah.

BN boleh memangsakan saya, tetapi tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan saya daripada mereka yang merompak masa depan anak cucu kita.

BN malah boleh menghina saya dengan mengurung saya semalaman tanpa sebab, tetapi mereka tidak akan berjaya menukar putih menjadi hitam, dan hitam menjadi putih. Yang benar tidak akan menjadi salah, dan yang salah tidak akan menjadi benar.

BN tidak akan dapat menghancurkan kekuatan parti saya – pemimpin dan ahlinya berdiri bersama untuk berjuang ke arah penambahbaikan demi Malaysia yang lebih baik, dengan keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Jika BN rasa ia boleh mematahkan semangat saya dengan menahan saya, mereka salah sama sekali! Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut. Malaysia yang bebas, adil dan makmur untuk semua mesti diperjuangkan!