Berita

Selepas ‘kafir harbi’, Guan Eng pula didakwa

GEORGE TOWN, 30 JUN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di dua pilihanraya kecil 18 Jun lalu telah memberi keyakinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melancarkan serangan-serangan politik, termasuk menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya petang semalam, dan didakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini atas pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan pendakwaan tersebut sebagai salah satu langkah menyerang oleh Najib Razak selepas merasakan beliau mempunyai ‘lesen’ untuk berbuat sesuka hati bagi memperkukuh kekuasaannya.

Kit Siang menyenaraikan lapan langkah menyerang Najib, termasuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno, selain menggantung keahlian Datuk Seri Shafiq Apdal.

Najib turut bertindak membersihkan SPRM dengan mencantas dua pegawai turus tertinggi, sepertimana yang telah dilakukan terhadap anggota-anggota pasukan khas yang menjalankan siasatan terhadapnya dengan menukar Peguam Negara dan juga Gabenor Bank Negara.

“Juga kempen untuk membangkitkan ketegangan kaum dan agama melalui Utusan Malaysia selepas dua pilihanraya kecil itu, termasuk mewarnakan DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

“(Termasuklah) kenyataan tidak bertanggungjawab dan berbaur hasutan oleh Mufti Pahang, yang bukan sahaja diberikan keutamaan oleh lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia, malah dibiarkan oleh Pejabat Perdana Menteri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang juga, Najib turut menyusun semula jemaah menteri dengan memasukkan mereka yang taat setia kepada survival Najib.

“Keseluruhan tujuan menahan dan mendakwa Guan Eng didedahkan dalam pengakuan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan, yang berkata penahanan Guan Eng menunjukkan DAP tidaklah begitu bersih sebenarnya,” tambah Kit Siang.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, dengan jaminan berjumlah RM1 juta, setelah didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk pengurusan kes. – Roketkini.com