Berita

Tak sampai 24 jam, kutipan derma solidariti Guan Eng capai sasaran

GEORGE TOWN, 1 JULAI: DAP Pulau Pinang hari ini mengumumkan bahawa kempen kutipan derma RM1 juta yang dilancarkan untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah mencapai sasaran.

Pengerusi DAP negeri itu, Chow Kon Yow berkata pihaknya menerima derma sebanyak RM1.09 juta sejak kempen itu dilancarkan sekitar pukul 6 petang semalam sehingga 2 petang tadi.

“Kita (DAP Pulau Pinang) menghentikan kempen ini kerana derma sudah pun mencapai sasaran.

“Dalam tempoh 21 jam, sasaran kutipan telah dicapai, iaitu menyamai RM51 ribu bagi setiap jam,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota pada sidang media di Wisma DAP.

Sehubungan itu, Kon Yeow merakamkan sepenuh penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sanggup menghulurkan bantuan sebagai tanda bersolidariti dengan Guan Eng yang ditahan atas motif politik itu.

Sebelum ini, parti itu telah menggunakan dana sendiri bagi membayar wang ikat jamin Guan Eng yang ditetapkan bernilai RM1 juta oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengaku tidak bersalah dan meminta agar dibicarakan atas dua pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi menetapkan sebutan semula pada 22 September depan sebagai pengurusan kes. – Roketkini.com