Berita

Terima sokongan ramai, Guan Eng terharu dipeluk lelaki berkopiah

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Solidariti yang ditunjukkan rakyat pelbagai kaum terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika berhimpun di luar pagar Mahkamah Tinggi di George Town semalam jelas membuktikan bahawa mereka amat menghargai dan mengingati pemimpin dan kerajaan yang bersih.

“Saya berasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat walaupun mereka (pihak kerajaan) cuba untuk memburuk-burukkan nama saya.

“Mereka (rakyat) nampak pembangunan yang ada di sana (Pulau Pinang) dan juga dapat melihat pelbagai kebajikan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri kepada rakyat di negeri ini

“Ramai rakan-rakan yang bukan ahli hadir memberikan sokongan, mereka sangat beremosi, bila saya berjalan keluar seorang wanita bertudung berteriak memberi kata-kata semangat kepada saya dan menangis.

“Malah saya juga terkejut apabila seorang lelaki berkopiah, dia lihat saya kemudian peluk dan menangis, saya amat terharu,” ujar Setiausaha Agung DAP itu pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Selain itu, dalam sidang media yang sama, beliau turut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahannya semalaman di pejabat agensi berkenaan.

“Adakah saya akan lari? Adakah saya tidak akan hadir ke Mahkamah? Itu yang sebenarnya Barisan Nasional mahukan dan saya percaya rakyat sedar ketidakadilan cara penangkapan dilakukan terhadap saya,” tambahnya. – Roketkini.com.