Berita

Kit Siang mahu buat jelajah, dengar pendapat rakyat tentang kedudukan Guan Eng

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berhasrat untuk membuat lawatan ke seluruh negara bagi mendengar sendiri pandangan masyarakat mengenai kedudukan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, susulan perbicaraan kes yang dihadapi Setiausaha Agung DAP itu.

Walaupun DAP telah sebulat suara meluluskan resolusi menyokong kepimpinan Guan Eng, Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini tetap mahu mendengar pandangan rakyat mengenai keputusan itu.

“Parti mempunyai hak untuk membuat keputusan terhadap hal berkenaan, namun saya akan tetap mengadakan lawatan untuk mendengar pandangan masyarakat mengenai sama ada Guan Eng patut letak jawatan atau bercuti,” katanya.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam sebulat suara memutuskan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan terus memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung parti itu memandangkan dua dakwaan rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotif politik semata-mata.

Menurut Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, kedua-dua dakwaan rasuah ke atas Guan Eng tersebut, masing-masing di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 di bawah Kanun Keseksaan, adalah tidak berasas, berniat jahat dan merupakan penganiayaan politik.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa Guan Eng perlu bercuti dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung atau Ketua Menteri Pulau Pinang kerana tidak wujud konflik kepentingan dan beliau tidak mempunyai kuasa mempengaruhi atau mengawal proses pendakwaan,” katanya. -Roketkini.com.