Berita

Pakatan Harapan: Kes Guan Eng pemangsaan politik, tak perlu bercuti

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak perlu bercuti atau meletakkan jawatan berhubung kes penjualan rumahnya yang kini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Parti Keadilan Rakyat Wan Azizah, dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mewakili  Pakatan Harapan menyatakan bahawa kes dakwaan terhadap Guan Eng itu hanyalah satu pemangsaan politik yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak.

Jelas kenyataan itu lagi, pimpinan Pakatan Harapan dari ketiga-tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan DAP akan turut serta dalam semua program dan kempen solidariti bersama Guan Eng di seluruh negara bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat.

“Majlis Presiden juga sekali lagi menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan juga merupakan mangsa konspirasi politik dan perlu dibebaskan segera,” tegasnya.

Dalam pada itu, badan tersebut turut mengingatkan Najib supaya tidak menguji kesabaran rakyat dengan pelbagai tindakan yang mencabuli prinsip-prinsip keadilan, keluhuran Perlembagaan dan dasar membebankan rakyat untuk kepentingan individu dan parti UMNO.

“Pakatan Harapan akan merapatkan saf untuk mempertahankan hak dan kebajikan rakyat supaya Najib tidak lagi berpeluang untuk menutup segala penyelewengan yang dilakukannya,” katanya..

Isu pendakwaan bermotifkan politik terhadap Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu timbul setelah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri menegaskan akan mengetuai pendakwaan untuk kes berkenaan.

Sebelum ini, Apandi telah mengejutkan ramai pihak dengan tindakannya membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku melibatkan skandal syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB. – Roketkini.com