Berita

Kerajaan dinasihat hati-hati tangani konflik Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Langkah Malaysia untuk menggunakan timbang tara antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian maritim dengan China di kawasan Laut China Selatan harus dijalankan secara strategik selepas mengambil kira semua alternatif yang ada.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming berkata, ia kerana China tidak mengiktiraf keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara semalam bahawa negara tersebut tidak mempunyai hak mengikut sejarah ke atas perairan yang kaya dengan sumber itu.

Keputusan tribunal antarabangsa berkenaan walau bagaimanapun selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS).

“Memandangkan China merupakan rakan perdagangan dan ekonomi negara, Malaysia perlu meminimumkan risiko berbalah dengan China serta meneruskan rundingan dua hala dengan negara itu mengenai kawasan pertikaian di Laut China Selatan.

“Malaysia juga harus terus berunding bagi mempercepat pencapaian Kod Tatalaku (COC) yang teguh dengan China dan negara-negara ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague, Belanda membuat keputusan yang tidak memihak kepada China dalam pertikaian maritimnya dengan Filipina.

Selain memutuskan bahawa China tiada hak sejarah ke atas Laut China Selatan, tribunal itu juga menyatakan China tidak ada alasan mengikut undang-undang untuk menuntut hak ke atas sumber di kawasan tersebut atas alasan ia berada dalam lingkungan sempadan sembilan garisnya.

Filipina sebelum ini meminta tribunal itu membuat keputusan tentang status sempadan sembilan garis China, persempadanan yang menjadi asas kepada tuntutan negara itu ke atas 85 peratus Laut China Selatan.

Namun, China yang memboikot perbicaraan itu sejak tahun lalu menganggap keputusan tersebut sebagai keputusan ‘satu pihak’ sahaja.

Dalam pada itu, Kian Ming turut menjelaskan bahawa keputusan tribunal berkenaan boleh digunakan oleh Malaysia bagi mengukuhkan tuntutan ke atas kawasan lain di Laut China Selatan seperti Beting Serupai (James Shoal) yang terletak hanya 80 km sebelah barat laut dari Bintulu.

Malah, katanya, tuntutan Malaysia ke atas Gugusan Beting Raja Jarun (North Luconia Shoals) dan Gugusan Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoals) juga boleh diperkukuhkan. – Roketkini.com