Berita

DAP pertahan kedaulatan negara dalam pertikaian Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: DAP menegaskan bahawa ia berdiri teguh di sisi kepentingan negara bagi mempertahankan tuntutan Malaysia ke atas pertikaian maritim di Laut China Selatan.

Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee berkata Barisan Nasional sebagai parti pemerintah mesti mengambil peranan proaktif dalam menangani isu berkenaan walaupun tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap Laut China Selatan.

“Kami tidak setuju sama sekali bahawa Laut China Selatan adalah milik China. Keputusan oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara baru-baru ini menetapkan beberapa perkara penting yang memihak kepada tuntutan Malaysia ke atas beberapa kawasan di perairan itu.

“Kami juga akan membidas sebarang usaha dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menentukan pendirian DAP terhadap isu ini. Hanya apa yang telah dinyatakan seperti di atas (dalam kenyataan media) merupakan pendirian rasmi DAP,” ujarnya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menyifatkan kenyataan anggota parti DAP, Dr Hew Kuan Yau berhubung konflik Laut China Selatan sebagai ‘malang dan tidak wajar bagi seseorang yang terpelajar’.

Zairil menjelaskan bahawa status Facebook Hew yang mendakwa bahawa Laut China Selatan adalah milik China menunjukkan beliau kurang kefahaman mengenai isu yang rumit itu.

Pertikaian maritim di Laut China Selatan melibatkan tuntutan kedaulatan yang bertindih dan tertakluk kepada pelbagai undang-undang dan perjanjian antarabangsa.

Sehubungan itu, Zairil berkata tindakan Hew yang memperkecilkan keseluruhan isu tersebut dengan satu kenyataan yang terlalu mudah menunjukkan bahawa beliau kurang arif tentang hubungan antarabangsa.

“Saya berharap pemimpin akan lebih berhati-hati mengenai hal-hal seperti ini,” katanya dilapor portal berita Free Malaysia Today.

“Namun, DAP tidak perlu mengambil apa-apa tindakan terhadap Hew kerana ia bukan satu isu disiplin untuk ahli biasa menyuarakan pendapat walaupun ia kurang bijak selagi ia tidak mencetuskan kekacauan.

“Jika ada pihak yang merasakan kenyataan itu mencetuskan kekacauan, mereka bebas untuk membuat aduan kepada jawatankuasa disiplin,” jelas Zairil yang menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. – Roketkini.com