Rencana

UMNO perlu kalah dan bermuhasabah demi selamatkan Malaysia

Laporan Malaysiakini semalam yang bertajuk “DAP mesti mati’ – Penunjuk perasaan UMNO lontar duit neraka” oleh Alyaa Azhar mengenai protes Baju Merah di luar Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur menyatakan:

“Disoal mengenai duit neraka itu, salah seorang penunjuk perasaan menjawab: ‘Kerana kita nak kasi orang DAP mati ma.’

“Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang turut berada di situ menambah: “Lebih kurang macam ini la, dia mahu Umno mati, kita pun mahu DAP mati.”

Saya tidak mahu mengulas tentang mengapa polis terus membenarkan elemen ekstremis serta tidak bertanggungjawab dalam masyarakat kita untuk mengadakan demonstrasi yang mencetuskan kebencian antara kaum dan agama, mengugut untuk membakar ibu pejabat tidak kira milik DAP, PKR atau Dewan Perhimpunan Cina Selangor tetapi ia adalah penting untuk menyatakan perkara sebenar supaya puak ekstremis tidak boleh mengelirukan orang lain untuk melakukan tindakan-tindakan tidak masuk akal seperti itu.

DAP tidak pernah mengatakan ia mahu UMNO mati. Setahu saya, tidak ada mana-mana individu, parti politik atau organisasi pernah mengatakan bahawa mereka mahu UMNO mati.

DAP tidak mahu UMNO mati, tetapi melalui sistem pilihanraya, kita mahu UMNO bermuhasabah serta berubah, dan itu hanya boleh dicapai jika ia dikalahkan sekurang-kurangnya sekali dalam pilihanraya umum agar Malaysia dapat menjadi sebuah negara demokratik yang normal.

Saya telah menyatakan berkali-kali bahawa UMNO BN mesti disingkirkan dari Putrajaya sekurang-kurangnya sekali agar negara ini mampu menjadi negara demokratik yang sebenar serta memecahkan trend pola penurunan ke arah negara yang berpecah-belah, gagal dan menyeleweng seperti sekarang.

Ini apa yang saya katakan di ceramah kopitiam DAP di Pekan Nenas, Johor dua minggu lalu:

“Tidak ada negara dalam dunia ini mampu menjadi negara yang hebat jika di mata antarabangsa, ia dianggap sebagai rejim yang rasuah dan diktator serta apabila di negara sendiri, ia menguatkan cengkaman kuasa bagi membenarkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berleluasa.

“Tidak ada sesiapa mahu UMNO dimusnahkan, malah saya tidak percaya bahawa UMNO terlalu lemah dan rosak sehingga jika ia disingkirkan dari Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang, ia akan mati.

“Sebaliknya, saya percaya UMNO akan mempunyai semangat dan daya tahan bagi memperbaharui dirinya ketika berada di luar kancah politik, daripada satu parti yang hanya mengutamakan kepentingan pemimpin-pemimpin UMNO dan kroni kepada parti yang benar-benar khusus kepada kebajikan tiga juta ahli UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya.

“Itu merupakan jalan yang telah diambil oleh pelbagai parti atau gabungan politik di negara-negara lain yang telah disingkirkan dari kuasa politik selepas puluhan tahun menjadi kerajaan yang telah membawa kemerdekaan negara, contohnya seperti di Taiwan, Korea Selatan dan India, maka tidak ada sebab mengapa UMNO tidak mampu bermuhasabah dan berubah seperti bekas-bekas parti pemerintah di negara lain.

“Jika UMNO dikalahkan walau sekali dalam pilihanraya umum akan datang, ia merupakan satu perkara yang amat menguntungkan negara kita dengan membolehkan Malaysia menjadi negara demokratik yang normal, menamatkan pola penurunan ke arah negara yang berpecah-belah, gagal dan menyeleweng di samping membenarkan UMNO untuk memperbaharui dirinya agar menjadi lebih demokratik dan berdaya saing bagi mendapatkan kembali kuasa di peringkat nasional dalam pilihanraya-pilihanraya umum selepas itu.”

Walaupun mempunyai 13 pilihanraya umum dalam masa enam dekad, Malaysia masih bergelut untuk menjadi sebuah negara demokratik yang normal di mana para pengundi boleh mengubah parti atau gabungan parti pemerintah secara aman dan demokratik melalui peti undi seperti negara-negara demokrasi yang matang tanpa diugut kononnya ia akan menimbulkan kekacauan dalam negara.

Sepanjang 60 tahun lalu, terdapat enam perubahan kerajaan secara demokratik dan aman di United Kingdom, tetapi tidak pernah sekali pun ia berlaku di Malaysia. Malah, Filipina dan Indonesia mempunyai amalan dan tradisi yang lebih demokratik berbanding Malaysia memandangkan rakyat di kedua-dua negara itu boleh menggunakan peti undi bagi mengubah kerajaan yang memerintah tanpa terjadi sebarang bencana kepada negara.

Sebenarnya, Malaysia semakin menjadi negara yang tidak normal.

Kita tidak pernah terfikir sepanjang 52 tahun sebelum ini di bawah lima Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah dari 1957 ke 2009, bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang merupakan asas penting dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal 1MDB boleh diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta dihalang daripada disebarkan di Parlimen dan kepada rakyat – selepas Perdana Menteri sendiri memberi jaminan bahawa Laporan Ketua Audit Negara itu akan didedahkan kepada umum.

Pada masa sama, kita juga tidak pernah terfikir sepanjang 52 tahun sebelum ini di bawah lima Perdana Menteri Malaysia bahawa Peguam Negara akan membersihkan nama Perdana Menteri berhubung skandal 1MDB serta setuju dengan keputusan kerajaan untuk terus mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara itu di bawah OSA walaupun menghadapi tindakan tegas masyarakat antarabangsa ke atas penyelewengan berbilion ringgit oleh 1MDB, pengubahan wang haram dan rasuah termasuk pendedahan global mengenai segala ketirisan dan salah laku syarikat itu oleh laman pendedah maklumat, Sarawak Report.

Seorang Menteri Kabinet pula berkata sesiapa yang mendedahkan salah laku 1MDB adalah pengkhianat, bermakna bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, serta pemimpin-pemimpin dan ahli parlimen Pakatan Harapan turut termasuk dalam senarai tersebut, namun rakyat Malaysia secara terang-terangan menyokong pemimpin yang mahukan pendedahan telus skandal kewangan global Malaysia yang pertama – skandal RM55 bilion 1MDB, serta menganggap mereka yang mencuri wang negara melalui pemindahan wang 1MDB dan menyembunyikan penyelewengan itulah sebagai pengkhianat sebenar negara.

Pemimpin UMNO selama ini mengekalkan kuasa dengan mencambahkan rasa ketakutan di kalangan rakyat bahawa jika UMNO dikalahkan dalam pilihanraya umum, kaum Melayu kononnya akan hilang kuasa politik dan menjadi orang asing di tanah mereka sendiri, malah tidak akan mampu lagi mengembalikan kuasa politik mereka tersebut.

Ini merupakan pembohongan yang jelas, memandangkan kaum Melayu tidak akan sesekali hilang kuasa politik mereka jika UMNO disingkirkan dari Putrajaya, jadi persoalan sama ada kaum Melayu mampu mengembalikan kuasa politik mereka tidak pernah timbul.

Atas sebab inilah tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang mampu menjawab dua persoalan yang dilontarkan oleh Sasterawan Negara Pak Samad bagi mendedahkan penipuan politik berkenaan, iaitu:

“Bagaimana pula kaum Melayu sedang terancam? Bagaimana boleh agama (Islam) dan kaum Melayu diancam sedangkan mereka yang berkuasa adalah dari kaum Melayu sejak lebih lima dekad lalu?

“Apa yang dilakukan oleh mereka (pemimpin Melayu) sepanjang lima dekad ini (jika kaum Melayu benar-benar terancam)?”

Realitinya, apa yang pasti, orang Melayu tidak akan pernah hilang kuasa politik mereka walau apa pun yang berlaku kepada Najib dan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang, memandangkan orang Melayu akan terus memegang kuasa politik di Malaysia kerana tidak mungkin mereka akan kehilangan kuasa berkenaan.

Pada tahun 1970, populasi Malaysia terdiri daripada 44.32 peratus Melayu, 34.34 peratus Cina, 8.99 peratus India, 11.89 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 0.67 peratus etnik lain.

Pada 2010 pula, populasi kaum Melayu meningkat kepada 55.07 peratus, Cina berkurangan kepada 24.34 peratus, India mencatat penurunan kepada 7.35 peratus, Bumiputera bukan Melayu kekal pada 11.94 peratus manakala 1.3 peratus etnik lain.

Malah, pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, 52.63 peratus pengundi merupakan kaum Melayu, 29.68 peratus kaum Cina, 7.31 peratus India, 8.96 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 1.43 peratus etnik lain.

Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 merupakan kerusi majoriti Melayu yang mewakili 70 peratus kerusi, 22 kerusi majoriti Cina (13 peratus) dan 29 bilangan kerusi campuran. Tidak ada satu pun kerusi majoriti India.

Ketiga-tiga faktor ini menunjukkan penguasaan Melayu yang amat memberangsangkan dalam arena politik Malaysia – realiti demografi berhubung populasi negara, bilangan pengundi dan kawasan parlimen – dan mengapa kaum Melayu tidak akan pernah hilang kuasa politik mereka walaupun UMNO tewas dalam pilihanraya umum akan datang. – Roketkini.com

 

*Lim Kit Siang merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP