Rencana

Mansuhkan GST, tingkatkan pendapatan

Samada kerajaan mengaku ataupun tidak, hakikatnya rakyat Malaysia menjadi semakin miskin setiap hari. Selepas GST dilaksanakan pada 1 April  2015, pendapatan bolehguna setiap rakyat telah berkurangan.

Ini adalah kerana cukai yang dikenakan terhadap barang dan perkhidmatan itu mengakibatkan perbelanjaan pengguna meningkat daripada sebelumnya.

Selain daripada cukai, secara tidak langsung harga barang-barang di pasaran juga turut meningkat. Ini merupakan kesan sampingan ataupun tumpahan yang tidak dapat dielakkan akibat pengenaan GST.

Rakyat terasa amat tertekan dengan cukai dan kenaikan harga barangan lebih-lebih lagi apabila dihempit dengan kejatuhan harga komoditi utama negara kita seperti getah dan kelapa sawit.

Pendapatan rakyat negara kita juga bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Sebahagian besar daripada rakyat negara kita masih berada dalam kategori B40. Usaha-usaha kerajaan untuk melonjakkan gaji golongan pekerja agar tidak terus berada dalam kumpulan B40 nampaknya tidak berhasil.

Ini adalah kerana jumlah golongan miskin yang layak untuk menerima BR1M meningkat setiap tahun. Dalam kata lain, setiap tahun lebih ramai yang menjadi miskin di negara kita dan bukan sebaliknya.

Ada statistik yang menyatakan paras pendaparan penengah bagi kumpulan isu rumah B40 telah meningkat daripada RM1852 pada tahun 2012 kepada RM2629 pada tahun 2014 iaitu peningkatan sebanyak 17.5%. (statistik terbaru belum diperolehi).

Adakah statistik yang diberikan oleh kerajaan ini memberi gambaran yang sebenar mengenai realiti hidup rakyat Malaysia? Saya masih ragu-ragu  dengan angka-angka yang diberikan itu.

Pada pandangan saya, kerajaan harus mengelakkan memberi angka-angka yang besar untuk melindunginya. Angka-angka seperti ini sebenarnya tidak membantu. Yang penting adalah liku-liku hidup harian yang dilalui oleh  warga kita terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kerajaan harus memansuhkan atau sekurang-kurangnya tangguhkan GST buat sementara waktu. Kita tidak mahu melihat rakyat makan upas berulam racun.

Selagi kita tidak dapat mencari jalan untuk meningkat pendapatan kumpulan B40, GST dan kenaikan harga barangan akan pasti membebankan golongan miskin ini. -Roketkini.com

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi DAP Perak