Rencana

Masih ada pemimpin PAS yang bijak rupanya

Tawaran ‘genjatan senjata’ oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan supaya pembangkang fokus kepada musuh sebenar iaitu Umno mengejutkan banyak pihak apalagi parti Datuk Seri Najib Razak.

Saya kira, setelah perpecahan dalaman PAS yang membawa kepada penubuhan Amanah, ia menyebabkan PAS kehilangan semua pemimpin berjiwa besar yang mahu perubahan.

Kejutan yang dibuat Tuan Ibrahim tempoh hari menunjukkan masih ada pemimpin PAS yang sedar bahawa rakyat perlukan wadah pembangkang yang kuat untuk melakar perubahan.

Syabas buat Tuan Ibrahim yang sedar bahawa musuh utama pembangkang dan rakyat ialah parti Najib Razak; yang hanya mampu ditumpaskan melalui muafakat parti-parti pembangkang.

Namun, tanda tanya terbesar saat ini ialah, adakah pimpinan tertinggi PAS yang lain khususnya Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mempunyai sudut pandang yang serupa dengan timbalannya itu? Malah, Hadi dilihat memiliki rekod buruk kerana sering gagal berpegang pada keputusan bersama yang telah dipersetujui.

Antaranya ialah isu melibatkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU contohnya Kota Damansara, penetapan calon Perdana Menteri, krisis MB Selangor dan juga rang undang-undang persendirian ‘hudud’ beliau yang kini dikerjakan dengan galakan Umno sendiri.

Justeru, adalah lebih afdhal jika Tuan Ibrahim membawa perbincangan ‘genjatan senjata’ ini di peringkat dalaman PAS dan diselesaikan bersama presidennya itu.

Walaupun hari ini Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan berlapik bahawa PAS rela bersendirian, tetapi itu bukanlah noktah buat pembangkang negara ini untuk bertahaluf sebagaimana yang pernah dilakukan dalam sejarah awal 1990-an.

Pilihan Raya Umum  1990 dan Pilihan Raya Umum Malaysia 1995 menyaksikan Parti Melayu Semangat 46, DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) mampu bekerjasama menubuhkan Barisan Rakyat mengetepikan perbezaan ideologi masing-masing.

Barisan Rakyat ini turut bekerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah dalam Pilihan Raya 1990. Begitu juga dengan Barisan Alternatif dalam pilihanraya 2004 yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Harapan belum berkubur. Kita berdoa semoga usaha Tuan Ibrahim mendapat reaksi positif pimpinan PAS yang lain dan sama-sama melakar sejarah. – Roketkini.com