Budaya

Dari robohan Puncak Purnama

“Menyakitkan mata” itu alasan yang diberikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk merobohkan arca Puncak Purnama yang dihasilkan oleh Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal yang terletak di Bulatan Jalan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Arca yang berbentuk seperti menara bertingkat itu mula dibina pada 1985 dan siap pada tahun berikutnya. Ia dibuat daripada bahan seramik yang dibangunkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) pada tahun 1986, hasil kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat dan Wisma Putra.

Bagaimanapun, pada tahun 1996 strukturnya telah ditukar kepada keluli tahan karat, sekaligus merubah sentuhan seni pengkarya asalnya. Ekoran tindakan DBKL itu, Allahyarham Syed Ahmad membuat tuntutan saman terhadap agensi terbabit.

Pada 2010, Allahyarham yang juga pernah menyandang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara telah memenangi kes berkenaan dan DBKL diarah supaya membayar ganti rugi hak cipta dan teladan. Bagaimanapun, keputusan itu juga secara rasmi memberikan hak kepemilikan kepada DBKL terhadap arca tersebut.

Dengan keputusan mahkamah itu, DBKL tanpa memaklumkan kepada waris Allahyarham Syed Jamal telah mengambil keputusan untuk merobohkan arca berkenaan dengan alasan strukturnya telah usang selain faktor keselamatan kawasan yang kononnya menjadi sarang penagih.

Tengku Adnan atau Ku Nan yang memaklumkan alasan itu seperti yang dilaporkan media turut memberitahu bahawa tapak Puncak Purnama itu adalah sebahagian projek River of Life yang sedang dibangunkan.

Hasilnya, tepat jam 5 petang 4 Julai lalu, Arca yang telah berdiri lebih 30 tahun dan disifatkan balu Allahyarham Syed Jamal, Datin Hamidah Mohd Noor sebagai tidak “mengganggu sesiapapun itu” dirobohkan.

Tindakan DBKL dan kerajaan itu disambut dengan pelbagai reaksi oleh penggiat-penggiat seni tanah air, malah keluarga Allahyarham sendiri.

Hamidah yang ketika ditemui pemberita pada sidang media 4 Julai lalu, mengakui sedih kerana apa yang tinggal kini hanyalah memori tentang karya arwah. “Bagaimana kita nak adakan semula ‘air tangan’ dia sedangkan dia sudah pergi,” katanya seperti yang dilaporkan media.

Anak kepada Allahyarham, Syed Nabil Syed Ahmad turut melahirkan kekecewaannya, lebih-lebih lagi apabila didapati bahawa tidak ada wakil pihak berwajib yang memaklumkan keputusan itu kepada ahli keluarganya. Malah beliau mendakwa hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui laman sosial, Facebook.

Sementara itu, pada tarikh yang sama, satu laporan polis telah dibuat susulan daripada tindakan DBKL tersebut oleh sekurang-kurangnya lima pengiat seni di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Antara aktivis seni yang hadir membuat laporan polis ialah seniman Pyanhabib, penulis Rahmat Haron dan kurator bebas Nur Hanim Khairuddin.

Usaha mereka tidak hanya terhenti di situ, pada 15 Julai lalu satu Deklarasi Puncak Purnama telah digerakkan oleh sekumpulan seniman dan penggerak budaya bagi mengumpulkan 1,000 tanda tangan bantahan terhadap peristiwa yang dianggap sebagai “satu titik hitam sejarah seni rupa Malaysia”.

Ketika tulisan ini ditulis tandatangan Deklarasi berkenaan telah mengumpul 753 tandatangan.

Ia mendesak supaya adanya campur tangan dan pendirian dari pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai kementerian yang berkuasa penuh berhubung dengan kesenian dan kebudayaan tempatan.

Petisyen tersebut menyifatkan insiden ini sebagai kesan kecuaian pihak yang tidak prihatin dengan perkara hakcipta dan hak moral seniman, justeru menuntut agar hak-hak seniman dan karya-karyanya dihargai oleh pihak berkuasa dan penggubal undang-undang di Malaysia.

Kerajaan Malaysia juga diseru agar menandatangani Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Fasal 15 kovenan tersebut memperakui hak setiap orang untuk memperoleh manfaat dari perlindungan atas kepentingan moral dan material yang timbul dari karya ilmiah, sastera atau seni yang telah diciptakannya.

Balai Seni Visual Negara perlu dihormati sebagai penaung kesenian negara, maka sebarang keputusan sama ada untuk memulihara, mengubah dan melupus sebarang artifak dan karya seni awam perlu dirujuk dan tertakluk di dalam bidang kuasa yang ada pada Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

DBKL  juga digesa melantik satu lembaga penasihat khas berkaitan dengan perkara kesenian yang terdiri daripada wakil Balai Seni Visual Negara, seniman dan pereka mapan, budayawan dan tenaga akademik dari universiti tempatan untuk bekerjasama di dalam perancangan berkenaan dengan kesenian dan kebudayaan.

Petisyen tersebut boleh dicapai melalui laman sesawang berikut: http://www.ipetitions.com/petition/deklarasi-puncak-purnama/?utm_medium=social&utm_source=facebook&utm_campaign=button