Berita

DAP lapor polis pendedahan rompakan 1MDB, gesa dedah identiti “Malaysian Official 1”

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Satu laporan polis hari ini dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung pendedahan yang di buat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat melibatkan ‘kecurian’ dana 1MDB.

Laporan dibuat Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng bersama beberapa pimpinan DAP, NGO Otai Reformis, Malaysian Indian Voice dan beberapa individu.

“Saya merujuk kepada berita internet dan video bertajuk “U.S. Justice Department files lawsuits in connection with 1MDB probe bertarikh 20 Julai 2016 di laman http://www.reuters.com/article/us-scandal-lawsuit-idUSKCN1001FA,” kata laporan tersebut.

Dalam laporan itu menyebut lebih daripada AS$3.5 bilion telah digelapkan daripada 1MDB dan disalurkan kepada seorang pegawai berpangkat tinggi kerajaan Malaysia yang disebut dokumen tindakan undang-undang Amerika sebagai “Malaysian Official 1” termasuk membabitkan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Riza Aziz dan Low Taek Jho (Jho Low).

“Saya minta mereka disiasat, pasport mereka dirampas dan identiti “Malaysian Official 1” diumumkan.

Dalam perkara berkaitan, Lip Eng melahirkan rasa kecewa terhadap pihak polis yang mana sebelum ini laporan terhadap Najib berkaitan 1MDB tidak diambil tindakan.

Kelmarin, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan, sebanyak AS$1 bilion dana 1MDB dipercayai telah digunakan untuk membayar hutang judi di Las Vegas, selain membeli kapal layar mewah, perhiasan dalaman, hartanah dan sebuah jet.

Ekoran itu, Jabatan Kehakiman Amerika telah memfailkan permohonan menyita dan merampas aset berkenaan. – Roketkini.com