Berita

Pilihanraya Pulau Pinang untuk lawan ‘kuasa jahat’ Najib

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2016 merupakan satu usaha wajar bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat Pulau Pinang.

Ia perlu dilakukan demi mempertahankan mandat rakyat apabila DAP dan Pakatan Harapan diberi amanah dari rakyat Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu setelah berlakunya pendakwaan terpilih berniat jahat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pendakwaan terpilih itu disaksikan jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar di Malaysia dan peringkat antarabangsa tidak didakwa, sebaliknya pemimpin berpengaruh pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng menjadi mangsa.

Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Liew Chin Tong, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan bukanlah satu keputusan yang mudah.

Ia bagaimanapun akan menjadi wadah kepada kuasa rakyat untuk menumpaskan ‘kuasa jahat’ sekaligus menjadi titik tolak memperbetulkan semula sejarah politik tanah air.

“Rakyat dapat menghakimi prestasinya sebagai Ketua Menteri, serta memastikan DAP dan Pakatan Harapan mendapat mandat untuk lima tahun lagi, tidak kiralah Guan Eng dibebaskan atau tidak,” ujar beliau.

Katanya, walaupun pilihanraya berasingan bukanlah kebiasaan di Malaysia tetapi ia adalah kaedah paling baik dan terhormat untuk kembali kepada rakyat bagi mendapatkan mandat baru dalam tempoh krisis.

“Jika sebelum ini parti-parti pembangkang mengelak untuk mengadakan pilihanraya negeri bagi menghindar daripada BN menumpukan kepada sumbangan kerajaan persekutuan ke satu negeri, keadaan itu telah berubah,” kata beliau.

Hapuskan Guan Eng, strategi politik Najib

Merujuk kepada sumber dalaman dedah Chin Tong, sejak pilihanraya negeri Sarawak Mei lalu, BN Sabah dan Johor turut mempertimbangkan untuk mengadakan pilihanraya negeri berasingan pada lewat tahun 2016 dan awal 2017 bagi mengelak daripada menerima kesan buruk akibat skandal Najib.

PRN Pulau Pinang ini juga katanya bukanlah bersifat peribadi memandangkan wujudnya  ‘pembunuhan politik’ terancang BN memangsakan pemimpin-pemimpin utama pembangkang.

“Hanya apabila kita menemukan kedudukan kes Guan Eng dalam senarai keputusan politik Perdana Menteri Najib Razak maka barulah semuanya masuk akal,” kata beliau.

Beliau berkata, kaedah yang akan digunakan Najib untuk memenangi PRU akan datang bukanlah melalui pilihanraya yang bebas dan adil, tetapi dengan menghapuskan pihak lawan dan memecahkan pihak pembangkang.

Tindakan itu jelas terlihat abapila beliau menghapuskan satu-satunya pemimpin utama pembangkang dan menafikan calon perdana menteri alternatif iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemenjaraannya, diikuti dengan memecah-belahkan PAS dan seterusnya menghancurkan kredibiliti Guan Eng yang merupakan pemimpin yang berpengaruh.

“Menurut perkiraan pihak lawan, DAP akan kehilangan sokongan apabila kredibiliti Guan Eng dihancurkan, dan tanpa Guan Eng bertanding sebagai calon dalam PRU akan datang, DAP dan Pakatan Harapan mungkin akan kehilangan kuasa di Pulau Pinang,” katanya.

Apapun dakwaan skeptik dan negatif terhadap PRN Pulau Pinang ini kata Chin Tong, keadilan dan mandat baharu dari rakyat harus diberi keutamaan. -Roketkini.com