Berita

“Siapa lagi ‘Malaysian Official 1’ kalau bukan Najib?” – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Walaupun Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tidak mendedahkan identiti ‘Malaysian Official 1’ dalam tuntutan saman sivil yang difailkannya, segala butiran yang menggambarkan individu itu nampaknya bertepatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata dokumen mahkamah itu dengan jelas menggambarkan ia sebagai individu yang mempunyai kuasa penting dalam kerajaan walaupun tidak menyebut siapa individu ‘Malaysian Official 1’ berkenaan.

Malah, jelasnya, ‘Malaysian Official 1’ mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan serta penyingkiran daripada lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan syarikat 1MDB, menurut dokumen tersebut.

“Artikel 117 Memorandum Pertubuhan dan Artikel 1MDB menyatakan bahawa hanya Najib yang mempunyai kuasa berkenaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP, semalam.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP itu menambah, perenggan 263 di halaman 75 dokumen itu dengan jelas menyatakan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali telah membersihkan nama ‘Malaysian Official 1’ dalam satu siasatan berhubung AS$681 juta.

“Tidak ada pegawai lain selain dari Najib yang telah dibersihkan salah lakunya oleh Peguam Negara.

“Oleh itu, saya menggesa Apandi menjelaskan dakwaannya sebelum ini bahawa wang yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib itu kononnya daripada penderma Arab,” ujarnya.

Dokumen-dokumen dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat itu menunjukkan bahawa AS$681 juta berasal daripada bon 1MDB yang bernilai AS$3 bilion.

Daripada jumlah bon tersebut, sebanyak AS$1.592 bilion telah dipindahkan ke dalam akaun milik Tanore Finance Corporation, dan AS$681 juta daripadanya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Ambank ‘Malaysian Official1.’

“Di mana penderma Arab seperti yang didakwa oleh Apandi?

“Saya menyeru Apandi untuk mengambil tindakan ke atas Najib kerana segala salah lakunya. Jika beliau enggan berbuat demikian, dia harus meletakkan jawatan dan kita boleh mencari orang lain yang mampu membawa pertuduhan terhadap ‘Malaysian Official 1’, iaitu Najib,” tegas Tony.

Hasan Arifin perlu letak jawatan PAC

Dalam sidang media tersebut, Tony turut menggesa Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin meletak jawatan kerana cuba membersihkan Najib daripada segala penyelewengan dan salah laku sebelum ini.

Beliau yang merupakan anggota PAC berkata, badan itu tidak dapat menjalankan siasatan menyeluruh ke atas Perdana Menteri ekoran 1MDB enggan memberi sebarang akaun kewangan kepada mereka.

“Bagaimana kita mahu menyiasat dengan terperinci jika tidak ada penyata akaun?” soalnya.

Menurut Tony, dokumen mahkamah itu menunjukkan terdapat tiga transaksi pembayaran telah dibuat ke atas akaun peribadi Najib, dengan jumlah terbanyak iaitu AS$681 juta telah dipindahkan antara 21 hingga 25 Mac 2013, sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Beliau menjelaskan terdapat dua bayaran lain berjumlah AS$50 juta ke dalam akaun Najib sebelum ini, iaitu pemindahan sebanyak AS$20 juta antara 23 Feb hingga 13 Jun 2011, dan AS$30 juta antara bulan Mei hingga Disember 2012.

“Menurut dokumen itu, semua wang ini datang dari 1MDB,” katanya. – Roketkini.com