Berita

Suruhanjaya Siasatan Diraja Antarabangsa perlu siasat skandal 1MDB

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Sebuah mesyuarat Parlimen khas perlu diadakan secepat mungkin bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Antarabangsa berhubung skandal RM55 bilion 1MDB dan ‘derma’ RM4.2 bilion melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata tindakan itu penting bagi membersihkan kembali nama Malaysia dan mendapatkan kembali penghormatan sebagai sebuah negara berintegriti di kalangan masyarakat antarabangsa.

Jelasnya, amat memalukan bagi rakyat Malaysia apabila Amerika Syarikat harus campur tangan bagi membongkar penyelewengan melibatkan syarikat kerajaan seperti 1MDB.

“Bayangkan, rakyat Malaysia yang mempunyai maruah dan berbangga dengan negara terpaksa mendengar Peguam Negara AS, Loretta E. Lynch memberitahu kita bahawa dana negara telah dicuri dan diseleweng untuk kepentingan beberapa pegawai dan kroni.

“Kerajaan pula memberi respons yang sangat lemah apabila mengatakan akan bekerjasama dengan sebarang penyiasatan 1MDB, namun enggan mendedahkan apa-apa mengenai skandal itu kepada rakyat.

“Malah, laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB sehingga ke hari ini masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP semalam.

Ketua Parlimen DAP itu berkata demikian susulan tuntutan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Syarikat semalam bagi merampas aset yang berkait dengan 1MDB selepas ia terbukti digunakan bagi tujuan rasuah dan penyelewengan.

Malah, tuntutan berkenaan turut mendedahkan bahawa sebanyak AS$681 juta daripada jualan bon pada 2013 oleh syarikat milik Kementerian Kewangan itu telah dipindahkan ke dalam akaun Ambank individu yang dinamakan sebagai “Pegawai Malaysia 1.”

Jumlah tersebut bertepatan dengan jumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib yang juga Penasihat 1MDB. – Roketkini.com