Rencana

Tanggungjawab umat Islam adalah untuk menegakkan maqasid syariah

 

Menurut laporan media, presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata bahawa adalah tanggungjawab setiap orang Islam di negara ini untuk menyokong Rang Undang-undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang diusulkannya sebagai usaha untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah agar setanding dengan mahkamah sivil.

Menurut Hadi, “kalau dia (orang Islam) tak nak naikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam.” Malah, beliau turut mengecam orang Islam yang menolak RUU tersebut sebagai “sangat pelik.”

Hujah Hadi menganggap bahawa setiap Muslim di Malaysia harus menyokong RUU yang dibawanya, manakala mereka yang tidak pula disindir sebagai “pelik.” Kenyataan ini amat bongkak sekali kerana mengandaikan seolah-olah RUU yang dikemukakannya adalah setaraf dengan hukum Allah yang kudus.

Hakikatnya, RUU Hadi bukanlah hukum Allah tetapi bancuhan yang sudah melalui pentafsiran manusia. Segala yang terkandung dalam kitab al-Quran adalah sempurna dan tidak boleh dipinda, tidak sebagaimana perundangan manusia.

 

Kelemahan enakmen hudud

Contoh yang paling nyata adalah ketidakselarian enakmen hudud yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu. Umpamanya, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 yang asal di Terengganu mengandungi kesalahan bughah (derhaka) yang tidak terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan. Hanya kemudian barulah kesalahan tersebut digugurkan daripada enakmen Terengganu. Apakah hukum Allah boleh ditambah dan digugur dengan begitu sahaja?

Terdapat juga kelemahan-kelemahan lain, seperti hukuman rejam yang terkandung dalam enakmen hudud Kelantan. Hukuman rejam sebenarnya masih menjadi titik pertikaian dalam kalangan agamawan dunia, kerana ada ramai yang berpandangan bahawa hukuman tersebut tidak termaktub dalam al-Quran. Malah, ia dikatakan berasal daripada syariat Yahudi.

Pelbagai pertikaian lain juga pernah ditujukan kepada enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu, seperti kedudukan bukan Muslim serta ketidakadilan terhadap kaum wanita, sepertimana yang dihuraikan oleh sarjana Islam tempatan, Hassan Kamali.[1]

 

Pelaksanaan hudud yang tidak adil

Seperkara lagi, adalah jelas dan ternyata bahawa pelaksanaan hudud yang ditafsir oleh manusia telah gagal dalam matlamatnya untuk menegakkan keadilan. Ambil sebagai contoh peristiwa di Qatar baru-baru ini, di mana seorang gadis berbangsa Belanda telah dihukum atas kesalahan zina setelah beliau mengadu dirogol. Pada tahun 2013 pula, seorang wanita dari Norway telah dipenjarakan di United Arab Emirates selepas melaporkan kes rogol terhadapnya.

Di Arab Saudi pula, pada tahun 2009 seorang gadis 19 tahun di Qatif telah dijatuhi hukuman 90 sebatan kerana melakukan khalwat, walaupun beliau merupakan mangsa rogol bergilir-gilir oleh tujuh orang lelaki. Lebih teruk lagi, sebatannya telah ditambah kepada 200 setelah beliau tampil membuat pendedahan mengenai pengalamannya kepada media.

Ada banyak lagi contoh, termasuk di Pakistan di mana seorang gadis buta bernama Safia Bibi telah dipenjara kerana hamil luar nikah, kerana beliau tidak dapat mengenalpasti perogolnya.

Jelas, terdapat terlalu banyak kepincangan dalam pengalaman pelaksanaan “hukum Islam” di seluruh dunia. Bukan sahaja hak mangsa dicabul dan ditindas, peristiwa-peristiwa ini hanya mengaibkan nama baik Islam di mata dunia.

Pada masa yang sama, hujah bahawa “bukan Muslim tidak terkesan” ternyata tidak boleh dipakai apabila ramai bukan Muslim yang dikenakan hukuman hudud, baik di negara-negara Arab ataupun di negara jiran kita, Indonesia. Pada awal tahun ini, seorang wanita warga emas yang beragama Kristian di Acheh telah dihukum sebat kerana menjual arak.

Bagaimanakah kita boleh menjamin hal ini tidak akan berlaku di negara kita apabila kuasa mahkamah syariah diperluas dan diperkasakan? Pada masa ini pun, kerap berlaku keputusan mahkamah syariah yang memudaratkan bukan Muslim, khususnya dalam isu hak penjagaan anak dan pewarisan.

 

Maqasid syariah

Saya ingin menegaskan bahawa tanggungjawab Muslim, apatah lagi yang bergelar pemimpin, adalah untuk menegakkan maqasid syariah, yakni matlamat utama syariah, serta melindungi agama daripada pengaiban.

Oleh itu, adalah wajar kita persoalkan sama ada RUU yang bakal membolehkan pelaksanaan sebahagian besar daripada hukuman hudud di bawah enakmen-enakmen jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu itu benar-benar dapat memelihara nilai-nilai utama syariah, seperti keadilan, rahmat, kebijaksanaan dan kebaikan.

Apabila enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu masih kuat dipertikaikan dan penuh dengan kelemahan, bagaimanakah syariat Islam boleh dilaksanakan dengan adil? Sekiranya berlaku ketidakadilan atau penindasan terhadap mana-mana golongan seperti kaum wanita, bukan Muslim atau minoriti Muslim seperti kaum Syiah, maka tidakkah Islam juga yang akan diaibkan?

Maka, apa gunanya menjadi pemimpin Islam sekiranya melaksanakan undang-undang yang tidak dapat memelihara dasar-dasar maqasid syariah? -Roketkini.com

 

[1] Muhammad Hashim Kamali. 2003. Hukuman dalam undang-undang Islam: Suatu penelitian terhadap hukum hudud Kelantan dan Terengganu. Kuala Lumpur: Ilmiah Publication.

 

*Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP