Rencana

Al-Kisah Melayu dan DAP (Bahagian 2)

Walaupun jelas DAP tidak pernah meminggirkan kepentingan mana-mana kaum, namun pemerintah sejak sekian lama mahu memaparkan imej DAP sebagai momok kepada orang Melayu.

Mengapa DAP? Sudah tentu kerana DAP itu parti pembangkang, tetapi lebih daripada itu, DAP juga merupakan parti pembangkang tunggal pada zaman 70-an setelah penyerapan parti-parti lain seperti PAS dan Gerakan ke dalam gabungan besar Barisan Nasional pada tahun 1973. Maka, sebagai parti pembangkang tunggal dengan kebanyakan wakil rakyat dari kaum Cina, ditambah pula dengan dasar parti yang mendukung prinsip kemajmukan kaum dan agama yang bertentangan dengan teras perkauman pemerintah, DAP menjadi sasaran mudah bagi jentera media kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Sejak dari itu, timbullah pelbagai label yang diberi kepada DAP, termasuk parti komunis, parti Kristian, ejen Singapura atau cauvinis Cina. Padahal, tidak satu pun tuduhan tersebut pernah dibuktikan. Jelas, ia cuma propaganda untuk membentuk citra DAP sebagai momok yang bertentangan dengan sanubari Melayu.

Agenda pemerintah ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menakut-nakutkan orang Melayu agar senantiasa terperangkap dalam minda terkepung, seolah-olah ada sahaja musuh yang ingin menindas dan merampas hak Melayu. Keadaan ini pula akan meningkatkan ketakutan orang Melayu yang terpaksa bergantung kepada “pelindung,” yakni Umno, untuk menjaga kepentingan mereka.

Dalam erti kata lain, selagi kekhuatiran Melayu berterusan, selagi itulah Umno akan kekal relevan. Bak kata presiden Umno, Dato’ Sri Najib Razak, “Tiada Umno berkuasa terbangsatlah bangsa Melayu di bumi ini.”

Kenyataan yang dibuat oleh presiden Umno ini sebenarnya amat bebal, kerana sekiranya benar orang Melayu ditindas dan dipinggir di negara ini, maka secara logiknya Umno sendiri yang sepatutnya bertanggungjawab kerana menguasai tampuk pentadbiran sejak kemerdekaan.

Malah, adalah Umno sendiri yang menyebabkan kerugian besar harta negara melalui penyelewengan dan pengkhianatan seperti yang berlaku dalam skandal Bank Bumiputera pada awal tahun 1980an, skandal Forex Bank Negara pada awal tahun 1990an, sehingga ke skandal terbaru dan terbesar dalam sejarah Malaysia, iaitu syarikat 1MDB yang sudah melenyapkan puluhan bilion ringgit. Oleh kerana segala penyelewengan secara besar-besaran ini terpaksa dialihkan daripada perhatian rakyat, maka mitos pengepungan Melayu akan diteruskan oleh Umno melalui apa cara sekalipun.

Ironinya, masyarakat Melayu terus dikaburkan mata walaupun mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa untuk dikhuatirkan kerana hampir kesemua institusi-institusi negara dikawal oleh orang Melayu, termasuk perkhidmatan awam, badan perundangan, badan kehakiman, polis dan tentera. Dalam ekonomi pula, kebanyakan ekuiti saham dan industri-industri utama seperti kesihatan, perbankan, komoditi dan lain-lain lagi dikawal oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipimpin Melayu.

Sebetulnya, orang Melayu patut takut dengan Umno kerana menipu dan merompak harta negara atas nama perjuangan Melayu. Namun, DAP yang tidak pernah menindas mana-mana kaum pula menjadi mangsa.

DAP sentiasa akan mendukung kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia

DAP tidak pernah memusuhi mana-mana agama, termasuk agama Islam. Adalah mustahil untuk sebuah parti politik sah di negara ini bersikap anti kepada agama atau kaum tertentu, apatah lagi parti pembangkang. Pastinya, jika DAP benar-benar bersifat anti-Melayu dan Islam, maka sudah lama DAP diharamkan.

Bagi memperjelaskan pendirian parti mengenai isu-isu yang berkait dengan sentimen kenegaraan, Persidangan Kebangsaan DAP pada tahun 2012 telah membuat pengisytiharan secara sebulat suara melalui Deklarasi Shah Alam. Antara komitmen yang dibuat termasuk:

  1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
  2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
  3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel  3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
  4. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.

Jelas, pendirian DAP ini bukan sekadar omong-omong kosong, apabila ia diterjemahkan ke dalam bentuk dasar apabila DAP bersama rakan-rakan gabungan lain berjaya membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang.

Satu contoh yang nyata adalah peruntukan yang diluluskan bagi hal ehwal Islam, yang bukan sahaja telah meningkat tetapi telah dilipat gandakan sejak zaman sebelumnya dari RM25.58 juta pada tahun 2008 kepada RM56.53 juta pada tahun 2016 (rujuk Lampiran A).

Selain daripada kenaikan umum bagi hal ehwal Islam, tanah bernilai hampir RM80 juta telah disumbangkan oleh kerajaan negeri untuk pembinaan kompleks mahkamah syariah setinggi tujuh tingkat. Pada masa yang sama, kerajaan juga telah menyediakan tanah untuk pembangunan zon industri halal, mengembangkan tanah untuk perkuburan Islam, meningkatkan elaun bulanan pegawai masjid sebanyak 80 peratus, dan menyumbang lebih daripada RM500,000 setahun sebagai bonus untuk guru sekolah agama.

Hal yang lebih penting adalah hakikat bahawa kerajaan negeri buat kali pertama memulakan peruntukan tahunan untuk semua sekolah bantuan, termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, dan juga sekolah agama. Pada tahun 2015, sebanyak 176 institusi pendidikan Islam menerima peruntukan berjumlah RM1.75 juta daripada kerajaan negeri, sepertimana diperincikan dalam jadual di bawah.

Jenis Sekolah Bilangan Peruntukan
Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) 7 RM435,500
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) 11 RM249,500
Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) 7 RM381,100
Maahad Tahfiz 27 RM178,200
KAFA Integrasi 104 RM388,800
Tadika Islam (TADIS) 14 RM26,900
Sekolah Pondok 6 RM90,000

Jadual 1: Peruntukan yang diluluskan untuk Sekolah Agama

– Roketkini.com

*Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Bahagian 1

Bahagian Akhir