Berita

Apandi jangan main-main, Guan Eng berhak jelaskan kepada rakyat – Gobind

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang berhak untuk memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pendakwaan rasuah yang diada-adakan terhadapnya.

Justeru, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang juga peguam Guan Eng memberi amaran kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali supaya berhenti menggertak anak guamnya.

“Saya minta peguam negara berhenti mengugut anak guam saya, jika tidak saya tidak akan teragak-agak memulakan prosiding penghinaan mahkamah ke atasnya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya.

Apandi dilaporkan sebagai berkata akan mendedahkan bukti terhadap pertuduhan rasuah Guan Eng sekiranya integritinya terus dipersoal.

Malah Apandi yang sebelum ini membersihkan Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku rasuah juga mendakwa telah kononnya memberi peringatan kepada peguam Setiausaha Agung DAP itu.

Bagaimanapun, Gobind menafikan dakwaan tersebut, sekaligus mencabar Apandi menunjukkan bukti.

“Beliau mesti sedar akan peranannya sekarang sebagai pendakwa raya awam yang mengendalikan kes di mahkamah tinggi, dan saya mengetuai pasukan peguam bela kepada ketua menteri.

“Ada peraturan terpakai untuk pegawai undang-undang. Jika anda ada masalah anda patut bangkitkannya kepada peguam di pihak satu lagi, dan jika ada pertikaian, ada cara ia boleh diatasi dengan wajar,” ujarnya. – Roketkini.