Berita

Penipuan akademik: Universiti mesti bertindak tegas

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Kajian semula secara komprehensif terhadap usahasama Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) perlu dilaksanakan berikutan wujud dakwaan penipuan akademik melibatkan institusi pendidikan berkenaan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming berkata, Menteri KPT, Datuk Seri Idris Jusoh harus mengambil langkah berkenaan supaya integriti dan kredibiliti intelektual serta martabat universiti tertua terbabit dapat dikembalikan.

“Mengikut laporan tahunan UM 2014, KPT telah menyuntik RM590 juta ke dalam program penyelidikan, dengan tambahan dana dari UM, untuk mendanai projek penyelidikan sehingga 2016.

“Memandangkan jumlah yang begitu besar telah dikhususkan untuk inisiatif berkenaan dan hakikat bahawa dua daripada projek penyelidikan berkenaan telah dikenalpasti sebagai penipuan akademik, adalah menjadi hak orang awam untuk mengetahui perihal mengenainya.

“Malah, jika Idris Jusoh serius untuk memastikan bahawa sistem pendidikan tinggi negara kita terus maju, beliau harus mengambil kira perkara ini dengan lebih serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bulan lalu, UM mendapati terdapat duplikasi dan manipulasi terhadap angka-angka di dalam Laporan Saintifik dan tiga buah lagi laporan yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik universiti berkenaan setelah membuat siasatan terhadap perkara itu.

Ekoran daripada penemuan berkenaan, artikel yang didakwa diciplak itu telah ditarik balik daripada jurnal penyelidikan terbabit.

Dalam pada itu, Dr Ong menggesa supaya pihak UM mendedahkan kepada umum prosiding penuh siasatan dalaman mengenai perkara berkenaan selain mencadangkan supaya perubahan dilakukan terhadap garis panduan sedia ada bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

“Malah, UM juga harus mendedahkan hukuman yang dikenakan terhadap penyelidik yang terlibat sebagai peringatan terhadap yang lain bahawa hukuman yang setimpal akan dikenakan jika melakukan penipuan akademik,” katanya. – Roketkini.com