Berita

Mahkamah putuskan penahanan Teresa di bawah ISA menyalahi undang-undang

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh hari berhubung isu azan, lapan tahun lalu adalah menyalahi undang-undang dan tidak berasas.

Hakim Datuk George Varughese yang membacakan penghakiman tersebut menjelaskan tidak ada alasan sama sekali bagi mewajarkan penahanan Teresa di bawah ISA kerana polis tidak dapat memberi sebab kukuh bagi penangkapan beliau.

Panel hakim turut dianggotai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Zaleha Yusuf.

Naib Pengerusi DAP itu turut dianugerahkan ganti rugi umum berjumlah RM200,000 dan tambahan sebanyak RM150,000 sebagai ganti rugi teladan.

Menurut mahkamah, ganti rugi teladan itu wajar kerana penahanan tersebut memberi kesan kepada imej beliau sebagai ahli politik dan telah melanggar hak perlembagaan beliau sebagai seorang rakyat Malaysia.

Teresa ketika dihubungi Roketkini berkata, keputusan tersebut membuktikan bahawa penahanan beliau di bawah ISA pada tahun 2008 itu dilakukan tanpa mengadakan siasatan terhadap tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

“Ia memang dilakukan berdasarkan motif politik bagi memburukkan nama DAP dan Kerajaan Pakatan Harapan sebagai pihak yang kononnya ingin menghina kaum Melayu dan agama Islam. Itulah skrip UMNO dan BN.

“Keputusan Mahkamah Rayuan kali ini akhirnya mengembalikan keadilan dan membersihkan nama saya daripada semua tuduhan palsu tersebut,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong beliau sepanjang kes itu berlangsung termasuk para peguam yang mewakilinya, Sankara Nair dan K. Murali, ahli serta penyokong DAP dan Pakatan Harapan.

Tahun lalu, Teresa memfailkan kes mencabar kerajaan Persekutuan atas penahanannya pada 2008. Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan penahanan itu sah mengikut undang-undang. – Roketkini.com